SEREMBAN: Kerajaan perlu mengambil perhatian mengenai Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan iaitu mengamalkan adat budaya Melayu untuk dijadikan mata pelajaran di sekolah atau institusi pengajian tinggi, kata Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim.

Beliau berkata ia bagi memastikan amalan adat serta budaya Melayu itu, dapat diterapkan kepada rakyat selain memperkasakan tamadun warisan bangsa itu sendiri.

"Perkara yang telah dilupai ialah bab berkaitan mengamalkan adat istiadat Melayu. Perkara itu telah dilupai dekad demi dekad, dalam kesibukan kita mentadbir negara.

"Saya mencadangkan kepada pihak kerajaan agar mengambil perhatian tentang perkara ini, bagi memastikan nilai budaya Melayu tidak hilang dari masyarakat khusus anak muda," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Kolokium Anti Rasuah 'Adat Perpatih Melingkari Hidup Berintergriti' yang turut dihadiri Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki di sini hari ini.

Rais turut mencadangkan supaya perkara itu diberikan perhatian sewajarnya oleh kerajaan, dan Peguam Negara perlu mengambil langkah dengan menasihatkan Perdana Menteri mengenainya.

Dalam pada itu, Rais berkata penggunaan Bahasa Inggeris adalah penting dalam urusan tertentu, namun ia tidak bermakna Bahasa Melayu boleh diketepikan begitu sahaja.

Katanya bahasa Inggeris sangat mustahak dan perlu digunakan secara profesional, tetapi bahasa kebangsaan iaitu Bahasa Melayu jangan diketepikan.

Sementara itu, kolokium dianjurkan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Negeri Sembilan bersama SPRM itu bertujuan, menyampaikan kesedaran nilai-nilai murni melalui platform Adat Perpatih sebagai wadah memerangi gejala rasuah dengan harapan mesej yang hendak disampaikan akan lebih berkesan.

-- BERNAMA