JAIS siasat pengendali akaun Facebook Masjid Bandar Tasik Puteri

Mohd Shahzihan berkata, siasatan itu dibuat susulan rujukan terhadap satu hantaran Facebook dan blog.
SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sedang menjalankan siasatan terhadap pengendali akaun Facebook Masjid Bandar Tasik Puteri susulan hantaran yang dikaitkan dengan isu kecenderungan politik kepartian.
Ringkasan AI
- JAIS sedang siasat pengendali akaun Facebook Masjid Bandar Tasik Puteri berhubung hantaran yang melibatkan isu politik kepartian.
- MAIS dan JAIS akan ambil tindakan tegas mengikut Enakmen Jenayah Syariah Selangor jika sabit kesalahan, termasuk denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun.
- Sultan Selangor menitahkan masjid dan surau kekal bebas dari politik, MAIS dan JAIS menegaskan kepentingan menjaga zon aman untuk beribadah tanpa unsur perbalahan.
"Kertas siasatan akan dibuka mengikut Seksyen 12(a) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 iaitu melakukan suatu tindakan dengan cara menghina kuasa yang sah atau mengingkari, melanggar perintah atau arahan Sultan Selangor selaku Ketua Agama Islam di negeri ini.
"Jika sabit kesalahan, individu terlibat boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Mohd Shahzihan berkata, MAIS turut akan mengambil tindakan sewajarnya mengikut Peraturan-Peraturan Masjid dan Surau (Negeri Selangor) 2017 termasuk kemungkinan pemecatan jawatan sebagai pegawai atau ahli jawatankuasa masjid atau surau.
Beliau menegaskan, pendirian tegas MAIS dan JAIS itu selaras dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mahu masjid dan surau di negeri ini kekal berkecuali serta tidak terlibat atau cenderung kepada sebarang unsur boleh mencetuskan perbalahan dan perpecahan umat Islam khususnya pengaruh politik kepartian.
"Baginda menitahkan supaya masjid dan surau terus menjadi zon aman dan tenang untuk beribadah dan beraktiviti, selain berperanan sebagai pusat dan nadi kekuatan umat Islam," tambah beliau.
Sehubungan itu, Mohd Shahzihan menyeru umat Islam terus menjadikan masjid dan surau sebagai pusat persepakatan serta kesatuan umat Islam di peringkat kariah.
"Perbezaan pandangan seharusnya memberi nilai tambah kepada ilmu, amal ibadat dan penyucian hati, bukannya menimbulkan kebencian, hasad dengki atau ekstremisme yang boleh merosakkan keharmonian umat," jelas beliau. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


