Pengerusi Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Malaysia, Datuk Jamal Md Yunos dibebaskan dengan jaminan polis petang ini selepas direman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini, semalam.

Perkara itu disahkan oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh.

Jamal, yang juga Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, ketika ditemui di luar IPD Dang Wangi, berkata pihaknya akan mengadakan satu perhimpunan Baju Merah pada 5 Nov ini di Dataran Merdeka bagi menentang Bersih 5.

Katanya, himpunan Baju Merah itu tidak mewakili mana-mana parti politik.

"Perhimpunan Merah ini tiada kena mengena dengan UMNO, ini adalah solidariti gabungan NGO di negara ini," katanya kepada pemberita di sini.

Semalam, Jamal ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira 8.30 pagi sebaik tiba dari Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebelum dibawa ke IPD Dang Wangi, di sini untuk diambil keterangan.

BACA: Pemimpin kumpulan Baju Merah, Jamal Yunos ditahan di KLIA

BACA: Jamal Yunos direman dua hari

Beliau ditahan bagi membantu siasatan mengikut empat akta iaitu Akta Hasutan 1948, Seksyen 500 dan 503 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. - Bernama