Polis Diraja Malaysia (PDRM) percaya Datuk Seri Jamal Md Yunos menggunakan laluan tikus untuk melarikan diri ke negara jiran.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata pihaknya sudah mendapatkan kerjasama daripada pihak berkuasa Indonesia untuk membantu mengesan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu.

Daripada hasil risikan polis, Jamal dipercayai berada di Indonesia, dan pihak polis kini sedang giat mengesan lokasi sebenarnya.

"Kita percaya dia berada di Indonesia pada ketika ini. Kemungkinan besar dia gunakan laluan tikus sebab ikut rekod Imigresen, tiada data keluar masuk.

"Kita juga sudah ambil tindakan terhadap pegawai yang cuai semasa di hospital dan ini telah dinyatakan oleh Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor," kata Mohamad Fuzi dalam sidang media selepas melancarkan Op Selamat 13 sempena Aidilfitri 2018 di ibu kota, siang tadi.

Kelmarin, Jamal yang juga pengerusi Persatuan Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Malaysia menyebarkan video mengandungi rakaman suaranya yang mendakwa dia masih berada di dalam negara.

Menerusi video itu, dia menyatakan kerajaan tidak perlu memburunya secara besar-besaran termasuk akan bekerjasama dengan polis antarabangsa Interpol.

Menurutnya, kesalahan yang dilakukan amat kecil dan bukan jenayah yang boleh mengancam keselamatan orang ramai.

Terdahulu, empat video memaparkan Jamal berlatarbelakangkan ladang kelapa sawit dimuat naik melalui sebuah kumpulan aplikasi WhatsApp oleh seorang ahlinya.

Pada video pertama bertajuk ‘Polis Malaysia terbaik tetapi ada tangan ghaib yang tidak adil kepada saya’ berdurasi 41 saat, Jamal mendakwa tindakan polis terhadapnya dilakukan atas arahan pihak tertentu.

Dalam video kedua berdurasi 44 saat pula, Jamal mendakwa gambarnya bersama pistol di pinggang adalah gambar palsu yang disunting.

Menerusi video ketiga pula, Jamal menyatakan dia tidak melarikan diri dan akan tampil memberi kerjasama dengan pihak polis, namun tidak dinyatakan bila.

Menerusi video terakhir, Jamal menjelaskan tindakan yang dikenakan terhadap dua anggota polis yang dikatakan cuai sebagai tidak adil dan mendakwa dua anggota terbabit tidak melakukan sebarang kesalahan seperti yang didakwa.