Sebuah video penghormatan berdurasi 10 minit 35 saat daripada Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) telah ditujukan buat Ahli Parlimen Rompin, Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis.

Jamaluddin yang juga bekas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi telah terkorban dalam nahas helikopter di Kampung Sungai Pening, Semenyih pada 4 April 2015 lalu yang meragut nyawa kesemua lima lagi mangsa yang lain.


BACA: Jamaluddin Jarjis terkorban dalam nahas helikopter di Semenyih

Dalam video yang dihasilkan oleh Impian Production dan dimuat naik tiga hari lalu itu, antara lain memuatkan petikan wawancara pendek dengan beberapa pegawai pengurusan kanan MDeC dan juga himpunan gambar-gambar Jamaluddin sewaktu menjadi tulang belakang aspirasi dalam pelbagai projek badan berkenaan.

“Beliau seorang yang dinamik , penuh tenaga dan mempunyai banyak idea. Selalunya kami yang mendengar beliau menyampaikan pelbagai maklumat kepada kami.

“Namun perkara yang paling hebat tentang beliau adalah beliau juga terbuka dan sedia mendengar idea daripada kami. Itu perkara yang ‘cool’ tentang beliau dan sangat penting buat generasi yang lebih muda,” kata Pengarah Multimedia Kreatif MDeC Hasnul Hadi Samsudin.

Hasnul juga mengingati Jamaluddin sebagai seorang yang memberi inspirasi, berpandangan jauh dan banyak menyumbang kepada pembangunan industri teknologi kreatif.

Sementara itu, bagi Ketua Pegawai Operasi MDeC Ng Wan Peng, Jamaluddin disifatkan sebagai seorang yang mementingkan perincian sama ada hasil kerja mahupun kebajikan tenaga kerja itu sendiri.

“Beliau sentiasa mencetuskan sesuatu idea yang tidak pernah orang lain fikirkan serta suka menggalakkan seseorang supaya berfikir tentang suatu idea baharu.

“Jamaluddin ialah individu yang sentiasa menolak potensi seseorang melepasi batas dan itu telah mengajar kami menjadi orang yang lebih baik kerana dapat melakukan sesuatu yang dianggap mustahil,” kata Wan Peng.

Pengarah Perkhidmatan Pelanggan MDeC Ramesh Kumar Verma pula mengimbas pengalamannya apabila mengetahui dirinya ditugaskan sebagai pegawai khas bagi menemani Jamaluddin dalam sebuah lawatan kerja ke Australia.

“Saya takut ketika itu kerana semua orang mengatakan bahawa Jamaluddin seperti ‘harimau’. Saya juga tahu dia seorang yang tegas dan mempunyai ekspektasi tinggi.

“Bagaimanapun, setelah mengenalinya dengan lebih dekat, baru saya tahu bahawa beliau seorang yang profesional dan melayan baik setiap orang yang berada di sekelilingnya,” ujar Ramesh.

Kehilangan Jamaluddin bagi Ramesh merupakan suatu yang menyedihkan dan ia suatu kehilangan yang amat besar.

Ikuti video penghormatan tersebut di bawah ini:


GALERI FOTO:

Rentetan nahas helikopter awam di Semenyih

Upacara pengebumian Tan Sri Jamaluddin Jarjis di Makam Pahlawan