PUTRAJAYA: Bekas pegawai kepada Datuk Seri Rafizi Ramli, Chai Jin Shern atau James Chai, hadir ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya untuk dirakam keterangan hari ini.
Beliau dilihat mengenakan baju berwarna putih dan menaiki sebuah Proton Persona ketika tiba di ibu pejabat SPRM kira-kira jam 10 pagi.
Advertisement
Difahamkan, James Chai hadir bagi membantu siasatan dakwaan penyelewengan berkaitan perjanjian mega dengan syarikat semikonduktor terkemuka dunia dari United Kingdom (UK), iaitu ARM Holdings Plc.
Pada 1 April lalu, SPRM dalam satu kenyataan berkata, James Chai telah dikenal pasti sebagai individu yang diperlukan bagi membantu siasatan.
Menurut SPRM, pada 4 Mac 2026, agensi berkenaan telah mengeluarkan Notis Mengesan Individu bagi mengesan James Chai sebelum menerima surat daripada tetuan individu terbabit bertarikh 9 Mac 2026 yang memaklumkan bahawa beliau tidak dapat hadir untuk dirakam percakapan atas alasan kos penerbangan dan kekangan pekerjaan.
SPRM kemudiannya mengeluarkan surat balas bertarikh 13 Mac 2026 yang memberi lanjutan masa untuk James Chai hadir pada 31 Mac 2026, namun beliau sekali lagi gagal memaklumkan kehadirannya.
Berikutan itu, SPRM mengeluarkan surat pada 1 April yang menetapkan bahawa James Chai perlu hadir dalam tempoh dua minggu.
Pada 12 Februari, SPRM menerima laporan berhubung dakwaan penyelewengan pelaburan berjumlah RM1.11 bilion melibatkan bekas menteri kanan sebuah kementerian.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan SPRM telah merakam keterangan 17 saksi melibatkan pegawai Kementerian Ekonomi serta agensi berkaitan termasuk Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA). - Sinar Harian