Skip to main content

Malaysia

Jana Wibawa: Saksi sahkan Muhyiddin sertai permainan golf pada 19 Julai 2020

KUALA LUMPUR, 1 Sept - Bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hadir di Mahkamah Tinggi hari ini bagi perbicaraan tujuh pertuduhan menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram. Muhyiddin, 79, yang ketika kejadian merupakan Perdana Menteri dan Presiden Bersatu, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM225.3 juta bagi parti itu daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff, berkaitan
Muhyiddin berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM225.3 juta bagi parti itu daripada empat syarikat serta Datuk Seri Azman Yusoff, berkaitan Projek Jana Wibawa. - Foto Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berada di Tropicana Golf & Country Resort, untuk menyertai permainan golf pada 19 Julai 2020.

Ketua Keselamatan Kumpulan Tropicana Golf & Country Resort Berhad (TGCRB) S. Saravanan, 56, berkata semakan pada Green Fee Tag menunjukkan Muhyiddin antara 15 pemain yang didaftarkan untuk bermain di kelab golf berkenaan.

“Berdasarkan kepada semakan saya dalam sistem Golf Registration System di TGCRB pada 19 Julai 2020, terdapat satu invois yang didaftarkan atas nama Muhyiddin. Invois tersebut menunjukkan bayaran perkhidmatan golf berjumlah RM0, kerana dibayar sepenuhnya oleh Golf Club (Complimentary).

“Berdasarkan Green Fee Tag, keseluruhan pemain yang bermain pada masa itu melibatkan empat flight (kumpulan) yang dihadiri 15 pemain iaitu Muhyiddin, Natan, Shahran, Syed Hafiz, Esa, Tony, Azman, Adlan, Faliq, Shahjuan, CDR Sharif, Noor Zilan, Adam, Rashid dan Mr Jared Ethan AngTzer Shkn,” katanya.

Saksi pendakwaan ke-28 itu berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksi, pada perbicaraan kes Muhyiddin yang berdepan tujuh pertuduhan menyalahgunakan kedudukan serta pengubahan wang haram membabitkan projek Jana Wibawa.

Saravanan berkata setiap pemain wajib didaftarkan dan dimasukkan nama di dalam Green Fee Tag untuk tujuan pendaftaran dan insurans.

Pada 27 Ogos lepas, Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM) Datuk Seri Azman Yusoff, 54, memberitahu mahkamah bahawa semasa pertemuan antara beliau dengan Muhyiddin dalam satu kejohanan di kelab golf berkenaan pada Julai 2020, Muhyiddin memberitahu mengenai projek di bawah Program Jana Wibawa.

Bagaimanapun, keterangan Azman berhubung pertemuan itu dipersoal peguam Datuk Amer Hamzah Arshad, yang mempertikaikan pertemuan tersebut tidak berlaku selain mendakwa kejohanan golf yang dirujuk berlangsung pada Oktober dan bukannya Julai.

Saravanan berkata beliau tidak dapat memastikan sama ada permainan pada hari berkenaan merupakan kejohanan atau sekadar permainan biasa, melihat kepada jumlah pemain terlibat.

“Kebiasaannya kalau bermain dalam kumpulan yang kecil sesama mereka kita panggil friendly antara flight itu sahaja.

“Kalau pertandingan, ia merujuk kepada satu kumpulan yang besar, kebiasaannya lebih 10 flight dengan jumlah pemain lebih 40 dan boleh sehingga 260 orang,” kata saksi itu, semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Khairunnisa Hazwani Omar.

Pada prosiding itu, TPR Noralis Mat turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pendakwaan tidak memanggil ahli perniagaan Adam Radlan Adam Muhammad, untuk memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan, sebaliknya kemungkinan akan ditawarkan sebagai sebagai saksi pembelaan.

Muhyiddin, 79, yang ketika kejadian ialah Perdana Menteri dan Presiden Bersatu, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM225.3 juta bagi parti itu daripada empat syarikat, iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd, Mamfor Sdn Bhd dan KCJ Engineering Sdn Bhd serta Datuk Seri Azman Yusoff, berkaitan Projek Jana Wibawa.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021, mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Ahli Parlimen Pagoh itu turut berdepan tiga pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd, yang dimasukkan ke akaun AmBank dan CIMB Bank milik Bersatu di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur antara Februari 2021 dan Julai 2022.

Bagi pertuduhan itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan kes di hadapan Hakim Noor Ruwena Md Nurdin bersambung esok.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement