KUALA LUMPUR: Pas menzahirkan kebimbangan berhubung kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa yang membuka laluan perbincangan untuk melaksanakan Pilihanraya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Kuala Lumpur.

Menurut Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, seharusnya Pilihan Raya PBT tidak diberikan perhatian oleh Zaliha kerana agenda kesejahteraan rakyat bandar perlu menjadi fokus utama.

"Kenyataan Menteri Wilayah ini seolah-olah menunjukkan kerajaan MADANI tunduk dengan desakan DAP.

"Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) harus menghentikan agenda ini jika mahu rakyat melihat bahawa Kerajaan Madani tidak ditekan oleh DAP," katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.

Pada Selasa, Zaliha menyatakan akan mengadakan pertemuan dengan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi meneliti cadangan mengembalikan semula pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di peringkat bandar raya Kuala Lumpur.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim mendakwa DAP berhasrat mengadakan Pilihan Raya PBT untuk merealisasikan agenda menguasai bandar-bandar besar yang mempunyai pendapatan tinggi dan juga pusat ekonomi rakyat.

"Kita perlu tahu, jika pilihanraya PBT diadakan, ia membuka ruang kepada berlakunya polarisasi kaum yang lebih besar dan ketara antara penduduk bandar dan luar bandar.

"Ia bukan hanya melibatkan penguasaan terhadap hasil-hasil ekonomi sesebuah bandar yang tidak seimbang, malahan juga kuasa politik Melayu-Islam akan terhakis," ujarnya.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, keputusan kerajaan semenjak 50 tahun dahulu yang memansuhkan pilihanraya PBT ini sepertimana jelas termaktub dalam Akta Kerajaan Tempatan 1976 amatlah tepat.

Jelasnya, ia bertujuan untuk menghindari penguasaan Kerajaan Tempatan oleh satu-satu kumpulan etnik bagi menutup kemungkinan berlakunya ketegangan dan ketidakharmonian kaum dalam masyarakat.

"Kita tidak boleh bertolak ansur dalam agenda seperti ini kerana bimbang bila kita terlalu baik bertolak ansur, lama-lama kita ditolak beransur-ansur," tegasnya.

Ahad lalu, DAP menerusi konvensyen parti itu peringkat Wilayah Persekutuan menggesa supaya kerajaan  mengembalikan semula pilihan raya PBT d di peringkat bandar raya tersebut.

Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan, Tan Kok Wai, berkata cadangan berkenaan bagi memperkukuh demokrasi di Wilayah Persekutuan.

Ujarnya, mengembalikan pilihan raya PBT di Kuala Lumpur akan membawa kepada ibu negara yang mampan, mengamalkan tadbir urus cekap, bersih dan bertunjangkan rakyat.