Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini meminta umat Islam supaya tidak tergesa-gesa mengkritik fatwa yang telah dikeluarkan tanpa memahami perkara itu dengan sepenuhnya.

Baginda bertitah umat Islam perlu bersatu dan berpadu fikiran untuk memahami segala ajaran Islam dan ia perlu mengatasi ideologi dan kepentingan politik.

"Beta menyatakan demikian supaya tidak mahu wujud sebarang pertelagahan dan perbalahan sesama umat Islam dalam pelaksanaan urusan agama sehingga maruah agama Islam jatuh, mudah dipersenda dan dipertikai pihak yang tidak bertanggungjawab," titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Multaqa Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Seminar Kanun Jenayah Syariah di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini.

Turut hadir Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali.

Sultan Selangor bertitah sesuatu fatwa bukan hanya dibuat atau ditentukan oleh mufti sahaja, malah dibuat menerusi Jawatankuasa Fatwa yang terdiri daripada alim ulama dan profesional yang mahir dalam bidang masing-masing termasuk dalam bidang perundangan.

"Mereka akan berbincang dan menentukan sesuatu hukum, setelah mengambil kira hukum-hukum di dalam al-Quran, hadis dan kitab-kitab yang berkaitan.

"Sesuatu fatwa yang dibuat di negeri Selangor hanya akan menjadi sah setelah mendapat persetujuan dan perkenan Beta," titah baginda.

Sultan Sharafuddin bertitah, baginda tidak mahu keamanan, perpaduan dan pembangunan yang telah dibina dan dipertahankan hancur atau dimusnahkan oleh mereka yang bersikap melampau hanya disebabkan kejahilan atau dipengaruhi hawa nafsu serta unsur-unsur ekstremis luar.

Baginda menyeru umat Islam supaya tidak mudah terpengaruh dengan ajaran sesat yang boleh memesongkan akidah Islam.

Baru-baru ini, Sisters In Islam (SIS) dilaporkan mahu memohon semakan kehakiman mengenai fatwa Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang mengisytiharkan pertubuhan itu membawa fahaman sesat iaitu liberalisme dan pluralisme.