Menerusi ciapan di Twitternya, ketua pembangkang itu meminta kerajaan agar tidak mengambil masa yang lama untuk mengkaji bantuan yang akan diberikan.
"Jangan lama sangat mengkaji pak menteri. Hari-hari keluar berita rakyat hidup susah dan melarat. Beri mana yang boleh dulu. Sedikit tapi bermakna," katanya.
Anwar memberi respon terhadap kenyataan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang memaklumkan kerajaan masih dalam proses perincian bantuan semasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Tengku Zafrul dipetik sebagai berkata, kajian lebih lanjut turut dilakukan tentang langkah-langkah seterusnya yang boleh diperkenalkan untuk membantu kelangsungan rakyat dan perniagaan dalam mendepani cabaran sepanjang bulan-bulan yang akan datang.
Menurut Tengku Zafrul, PPN akan dijalankan secara berfasa dengan nilai ambang atau indikator-indikator utama yang perlu dicapai sebelum beralih dari satu fasa ke fasa yang seterusnya.