KUALA LUMPUR: Kaedah bayaran zakat fitrah secara dalam talian memudahkan umat Islam untuk menunaikan kewajipan tersebut menjelang sambutan Aidilfitri, khususnya ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedang dilaksanakan termasuk di Selangor.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS), Saipolyazan Mat Yusop berkata, kaedah yang diperkenalkan itu dapat membantu meringankan beban umat Islam dan mengambil kira keadaan semasa bagi mengelakkan penularan COVID-19.

Justeru, beliau menyarankan supaya umat Islam di seluruh negara khususnya di Selangor untuk segera melunaskan tanggungjawab masing-masing agar ia dapat disalurkan kepada golongan yang memerlukan.

"Memandangkan kita ada lagi dua hari sebelum raya, jadi jangan kita berlengah untuk menunaikan zakat fitrah kerana kita tidak mahu masyarakat Islam di Selangor berebut membayar fitrah di pagi raya.

"Kalau tiada kesempatan untuk pergi ke 2,800 orang amil fitrah yang dilantik oleh LZS di 450 masjid dan surau, umat Islam boleh menunaikan zakat fitrah melalui bayaran tanpa tunai di platform yang disediakan.

"Kita memahami sebahagian daripada masyarakat atau umat Islam suka membayar di pagi raya. Perlu diingatkan bahawa amil juga dalam kesibukan untuk menunaikan solat sunat hari raya.

"Jadi kita mengalakkan umat Islam menggunakan di platform-platform tanpa tunai yang kita sediakan. Ini termasuk portal mobile apps Zakat Selangor yang baru kita lancarkan yang mana ia memudahkan, bukan sahaja zakat fitrah tetapi zakat-zakat lain, disamping menyemak rekod-rekod bantuan zakat dan bayaran," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, setakat ini, kutipan zakat fitrah di Selangor masih belum mencapai sasaran yang ditetapkan berbanding kutipan tahun lalu iaitu sebanyak RM31.1 juta.

"Jadi kita harapkan, kita ada dua hari lagi untuk masyarakat menunaikan zakat fitrah, gunakan kesempatan ini menunaikan zakat fitrah dan wang zakat fitrah yang disasarkan pada tahun ini sebanyak RM31 juta dapat dikutip dan masyarakat dapat dibantu.

"Jadi, kita lihat bahawa janji Allah SWT apabila kita menunaikan zakat, Allah akan menyuburkan atau menyucikan harta kita.  Insya-Allah rezeki akan semakin murah dan makmur, selain pekerjaan akan semakin mudah," ujarnya.

Di Selangor, umat Islam boleh membayar zakat fitrah menerusi platform e-Zakat Pay di laman web  www.zakatselangor.com.my.