KUANTAN: Apa nasib lebihan makanan yang tidak terjual di bazar Ramadan atau sisa berbuka puasa?

Agak menyedihkan, banyak yang terpaksa dibuang sebagai sampah domestik yang menyebabkan bau busuk dan mencemarkan alam sekitar, sekali gus menjadi suatu pembaziran besar sejak dahulu.

Menyedari isu ini, sejak beberapa tahun lalu, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), menyediakan alternatif kepada peniaga dan juga orang ramai untuk melupuskan sisa makanan.

Sisa itu kini bukan lagi sampah tidak bernilai, sebaliknya mempunyai 'masa depan baharu' dan boleh memberi manfaat kepada alam sekitar, apabila diproses menjadi baja kompos.

Sisa makanan diproses dalam mesin untuk dijadikan baja kompos.


Di Kuantan sahaja, SWCorp Pahang berjaya menyelamatkan kira-kira 286 kilogram (kg) sisa makanan daripada terbuang setakat 10 Ramadan tahun ini.

Sisa makanan itu dikumpulkan daripada peniaga di Bazar Ramadan Mahkota Square dan orang ramai yang berbuka di Padang Majlis Bandaraya Kuantan (MBK)1.

Pengarahnya, Sharudin Hamid berkata, sisa makanan sejumlah itu akan menghasilkan 180.5 kg baja setelah menggunakan mesin kompos organik.

"Setakat 10 hari puasa, kita berjaya kumpul 286 kg sisa makanan, ini satu pencapaian yang agak menarik sebab tahun lalu dalam tempoh sebulan Ramadan kita hanya berjaya kumpul 200kg.

"Kita jangkakan hasil baja ini akan terus meningkat sekali gus dapat diagihkan kepada kebun komuniti di sekitar daerah Kuantan," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Sisa makanan yang sudah diproses menjadi baja kompos.

Menurutnya, SWCorp Pahang meneruskan tiga program pada tahun ini iaitu penghasilan baja kompos daripada sisa makanan melalui Program Kompos@Bazar, program Infaq Ramadan melalui program “Trash to Cash” dan program "My Save Food”.

Kempen ini adalah usaha sama antara SWCorp Pahang, Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) dan Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora).

Sharudin berkata, usaha ini diharap dapat mengurangkan sisa makanan daripada terus dibuang ke dalam tong sampah.

Ujarnya, selain itu, ia dapat membudayakan amalan bersedekah dengan menyumbangkan barang-barang kitar semula melalui kempen "Trash To Cash" Infak Ramadan.

"Hasil sumbangan akan diserahkan kepada badan-badan kebaijikan yang memerlukan," katanya.

Justeru, Sharudin berkata, pihak SWCorp akan memperhebatkan lagi hebahan dan penyampaian maklumat kepada pengunjung yang hadir agar usaha ini dapat dijalankan secara berterusan serta melahirkan masyarakat yang peka kepada alam sekitar.