Skip to main content

Malaysia

Jangan nafi hak kaum, parti anggotai kerajaan - PM Anwar

PUTRAJAYA, 8 Jun -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Anwar ketika berucap pada majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi, di Putrajaya, hari ini. --fotoBERNAMA

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa tiada mana-mana kaum atau parti politik wajar dinafikan hak untuk menyertai kerajaan, selaras dengan prinsip demokrasi dan semangat Perlembagaan Persekutuan. 

Beliau berkata kerajaan yang dibentuk perlu mencerminkan realiti masyarakat majmuk Malaysia dengan memberi ruang kepada penyertaan pelbagai kaum dan parti politik bagi memastikan tadbir urus negara yang inklusif serta mewakili kehendak rakyat. 

“Kita dalam kerajaan atau kementerian harus mewakili semua sosok pelbagai kaum dan agama. Walaupun induknya majoriti Melayu, dasar-dasar yang jelas itu tidak dipertikaikan. Keduanya, dalam sistem amalan demokrasi kita mesti menghormati pilihan rakyat.

“Oleh itu, agak angkuh atau sombong untuk kita membuat keputusan menafikan hak mana-mana kaum, parti untuk menyertai dan bersama dalam gagasan kerajaan. Ini saya tegaskan kerana kadangkala dalam ketegangan dan kehangatan kempen politik ada keterlanjuran. Saya harap keterlanjuran itu mesti diperbetulkan kerana ia tidak beri mesej yang baik,” kata Anwar ketika berucap pada majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi, di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dan Timbalannya Teo Nie Ching, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah.

Perdana Menteri turut mengingatkan agar perbezaan politik tidak dijadikan alasan untuk menyemarakkan sentimen perkauman atau retorik yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.

Beliau berkata perbezaan pandangan dalam politik adalah lumrah dalam sistem demokrasi, namun ia perlu diurus secara berhemah dan berlandaskan nilai kemanusiaan, keadilan dan saling menghormati.

“Kita semua ada sentimen pendirian peribadi kita, dibesarkan dalam suasana yang tersendiri. Tapi itu tidak boleh umpamanya memberi satu sikap yang tidak manusiawi. Kita bukan pilih untuk menjadi Melayu, Cina, atau India.

“Kita tidak pilih untuk berbeza sikap dengan sosok dengan warna kulit tertentu. Sebab itu dalam Islam, soal menghormati kepelbagaian itu suatu prinsip,” kata Anwar.

Beliau turut menegaskan Malaysia terbina atas beberapa prinsip utama dengan Perlembagaan Persekutuan sebagai kerangka asas yang menjadi pegangan negara, walaupun kepimpinan silih berganti.

“Negara kita ini tertegak (terbina) dengan beberapa prinsip utama, pimpinan silih berganti. Tetapi kerangka dasar yang termaktub dalam Perlembagaan Perlembagaan Persekutuan itu menjadi pegangan,” kata beliau.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement