"Jangan padam, pukul bomba!"

Berikut antara perkongsian anggota bomba, Shahrul Anuar Kamaruddin, 27, yang merupakan saksi ketujuh bagi sesi Prosiding Inkues kematian Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim pada sesi petang Khamis.

Anuar ketika memberi keterangan berkata, pihaknya telah menerima ugutan dari sekumpulan perusuh sebaik sahaja turun daripada jentera FRT untuk memadam kebakaran.

"Saya dengar jeritan "jangan padam, pukul bomba" yang berulang sebanyak tiga kali, kemudian saya terus naik semula ke dalam jentera FRT kerana risau tentang keselamatan," katanya di hadapan Koroner Rofiah Mohammad.


Selain itu, Anuar berkata, dia juga turut didatangi tiga individu ketika berada di Kuil Sri Maha Mariamman USJ 25, Subang Jaya.

"Ada tiga orang menghampiri saya dan seorang bersenjatakan seperti pedang samurai dan selebihnya masing-masing memegang besi panjang putih dan batu bata," jelas Anuar lagi.

Sesi prosiding pada Khamis berakhir sekitar jam 4.15 petang.

Prosiding akan bersambung esok dengan kehadiran dua lagi saksi awam yang dipanggil untuk memberi keterangan yang bermula jam 9 pagi menurut Koroner, Rofiah Mohammad.

BACA: Inkues Adib bermula hari ini

BACA: Bapa Muhammad Adib harap inkues disegerakan demi keadilan