KUALA LUMPUR: Ibu bapa usahlah memandang remeh tentang vaksinasi kerana anak-anak lebih berisiko mengalami Sindrom Keradangan Pelbagai Sistem dalam Kanak-Kanak (MIS-C) sekiranya tidak disuntik.

Kata Pakar Perunding Kanan Pediatrik ICU Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Prof Madya Dr Gan Chin Seng, MIS-C boleh merosakkan organ dalaman sehingga menyebabkan kegagalan fungsinya seterusnya membunuh seseorang pesakit itu.

Menurut beliau, selalunya sindrom tersebut boleh mula dikesan pada kanak-kanak terutamanya yang berusia 12 tahun dan ke bawah dua atau enam minggu selepas mereka mendapat jangkitan COVID-19.

“Radang ini boleh berlaku di jantung, paru-paru, buah pinggang, hati dan otak serta kulit mereka.

“Kalau lewat dikesan tanpa diberi rawatan yang diperlukan, ini boleh menyebabkan kematian.

Walaupun hampir kesemua kes berjaya ditangani dan terkawal, apabila ada berlaku kes kematian sepertimana yang diumumkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) akhir-akhir ini bererti ia satu ancaman yang serius.

Selain daripada MIS-C, kata Dr Gan, anak-anak yang tidak divaksin juga lebih mudah untuk mendapat demam yang teruk sehingga boleh menyebabkan sawan, serta kesan panjang atau ‘long COVID’ sekiranya dijangkiti virus itu.

“Kita belum dapat lagi statistik penuh (situasi) di negara ini, kajian di luar negara seperti di United Kingdom mendapati ada 10 peratus daripada kanak-kanak yang dijangkiti COVID-19 boleh mendapat ‘long COVID’, maksudnya simptom mereka boleh berterusan lebih lama daripada biasa.

“Jadi sebab-sebab yang saya sebutkan ini yang kita risau kalau ibu bapa tak membawa anak mereka mendapatkan vaksinasi, dengan sekarang aktiviti ekonomi sudah semakin luas pembukaannya.”

Tonton temu bual penuh bersama beliau dalam program Agenda AWANI dihoskan oleh Nazri Kahar, di sini:

Jangan pandang remeh, MIS-C boleh bawa maut - Pakar perubatan kanak-kanak