JOHOR BAHRU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Johor menafikan berlaku kejadian kes penculikan dan dakwaan mengambil organ untuk dijual kepada hospital di negeri Johor, sebagaimana tular di media sosial.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, satu hantaran video berdurasi tujuh saat seperti yang dikongsi di aplikasi TikTok itu tidak benar.

Menurut beliau, hantaran itu dimuat naik pemilik akaun 'aesthetiharu' yang kononnya memaparkan dakwaan berlaku kes penculikan bagi mengambil organ untuk dijual kepada hospital di Johor.

"Hasil semakan juga mengesahkan tiada laporan polis diterima berkaitan insiden jenayah sepertimana ditularkan pemilik akaun itu.

"Hantaran itu dilihat sebagai satu cubaan untuk menimbulkan ketakutan dan kebimbangan orang ramai," kata Kamarul Zaman dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Jelas Kamarul Zaman, perbuatan menyebarkan dan membuat spekulasi palsu adalah menyalahi undang-undang dan boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sehubungan itu, polis menasihatkan orang ramai agar tidak mudah mempercayai dakwaan yang diperolehi dari sumber tidak sah dan menggunakan maklumat palsu.

Video dalam Inggeris seperti yang tular itu meminta orang ramai berhati-hati tentang kejadian penculikan untuk penjualan organ ke hospital yang dikatakan sedang berlaku di negeri Johor.