MALAYSIA
'Jangan salahkan tanah semata-mata' - Isu sebenar adalah perancangan, transparensi, tanggungjawab bersama

Pelaksanaan kerja pemulihan rumah mangsa didakwa tidak menyeluruh dan membebankan. - Gambar fail
PENGUMUMAN hasil siasatan rasmi berkenaan insiden letupan paip gas di Putra Heights baru-baru ini amat mengecewakan bagi ramai pihak. Lebih menjengkelkan ialah bagaimana pengumuman tersebut meletakkan punca kejadian kepada pergerakan tanah, seolah-olah masalah ini berlaku secara semula jadi tanpa sebarang kaitan dengan pembangunan manusia. Tiada penerangan lanjut tentang apa yang menyebabkan tanah itu bergerak. Tiada analisis yang dikongsikan secara mendalam tentang faktor-faktor sekeliling. Dan tiada kebertanggungjawaban konkrit daripada pihak-pihak yang terlibat.
Ringkasan AI
- Pengumuman hasil siasatan rasmi insiden letupan paip gas di Putra Heights disifatkan mengecewakan kerana hanya menyalahkan pergerakan tanah tanpa penjelasan teknikal yang lengkap atau pihak yang dipertanggungjawabkan.
- Pembangunan berhampiran infrastruktur kritikal seperti paip gas menimbulkan persoalan tentang kelulusan dan keselamatan, manakala pembeli rumah mendakwa tidak dimaklumkan tentang risiko tersebut semasa jual beli.
- Pelaksanaan kerja pemulihan rumah mangsa didakwa tidak menyeluruh dan membebankan, dengan kontraktor asal dilantik semula, skop kerja yang tidak jelas, dan mangsa diminta menandatangani surat setuju terima yang menggugurkan hak undang-undang.
Lebih mengecewakan, ramai pembeli rumah mendakwa mereka tidak dimaklumkan langsung tentang kewujudan paip gas ini semasa proses jual beli. Ini bukan perkara remeh. Ini adalah soal hak. Pembeli berhak tahu jika hartanah yang mereka beli terletak bersebelahan dengan infrastruktur berisiko tinggi. Jika perkara asas seperti ini pun tidak didedahkan, bagaimana mereka boleh membuat keputusan yang bijak sebagai pengguna?
Selain itu, timbul pula isu pelaksanaan kerja-kerja pemulihan. Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah mengumumkan rancangan untuk membina semula rumah-rumah yang musnah dengan dana kerajaan dan sumbangan daripada pemilik infrastruktur berkenaan. Namun, sudah berbulan-bulan berlalu dan kerja-kerja masih belum berjalan lancar, khususnya di Taman Putra Harmoni. Beberapa kenalan saya yang tinggal di kawasan tersebut meluahkan rasa bimbang terhadap keadaan yang masih tidak menentu. Mereka masih tidak tahu apakah langkah seterusnya, dan komunikasi efektif dengan pihak
bertanggungjawab hampir tidak wujud.
Apa yang lebih menghairankan, kontraktor yang melaksanakan kerja-kerja pemulihan ini merupakan kontraktor yang dilantik oleh pemaju asal – iaitu pihak yang sama yang didakwa gagal memaklumkan tentang kehadiran paip gas sejak awal lagi. Dan kini, pihak pemaju berkenaan telah diberi mandat oleh KPKT, untuk membina semula rumah-rumah mangsa dengan dana yang disebutkan tadi. Malah, ada penduduk yang mengalami kerosakan sepenuhnya kepada rumah mereka, juga mendakwa ada di antara mereka yang dimaklumkan bahawa cuma kerja-kerja pembaikan akan dijalankan ke atas rumah mereka berbanding ‘pembinaan semula’ seperti yang diyatakan sebelum ini – walaupun struktur rumah mereka
sudah jelas musnah.
Ada juga mangsa yang dimaklumkan oleh kontraktor bahawa pendawaian elektrik dalam rumah mereka tidak termasuk dalam skop kerja, dan ada yang dimaklumkan bahawa paip air di dalam rumah akan dipasang secara luaran, di atas lantai – bukan di bawah seperti biasa.
Jubin lantai tidak akan dipasang, dan lantai hanya akan disimen dan dicat. Bumbung rumah yang rosak hampir separuh pula hanya akan dibaiki secara separa. Semua ini bukan sahaja menjengkelkan, malah menjatuhkan maruah dan hak mangsa. Lebih menyedihkan, mereka diminta menandatangani ‘surat setuju terima’ yang menggugurkan hak mereka untuk mengambil tindakan undang-undang – walhal butiran kerja pun masih belum jelas.
Dan di tengah-tengah semua kekeliruan ini, ‘tanah’ terus dipersalahkan. Tapi tiada siapa menjawab soalan sebenar – mengapa tanah itu bergerak atau mendap sehinggakan paip gas boleh pecah? Bukankah kawasan itu dulunya mempunyai aliran sungai? Ke mana air itu dialihkan semasa pembangunan projek perumahan? Bagaimana pula dengan sistem saliran dan pembetungan pembangunan perumahan? Semua ini memerlukan siasatan terperinci – bukan diketepikan dengan mempersalahkan gerakan tanah.
Di seberang kawasan perumahan pula, kerja-kerja pembangunan oleh pemaju lot kedai juga seharusnya menimbulkan tanda tanya. Ada laporan tentang ketidaktelusan dalam proses kelulusan dan kebenaran merancang. Namun sehingga kini, tiada penjelasan yang diberikan.
Yang pasti, apabila semuanya gagal dijawab, ‘tanah’ dipersalahkan. Begitu mudahnya melarikan diri daripada tanggungjawab sebenar.
Kita tidak boleh terus membiarkan perkara ini berlaku. Di sebalik semua laporan teknikal dan permainan salah-menyalah ini, penduduk di kawasan berkenaan telah kehilangan segalanya – rumah, keselamatan, dan keyakinan terhadap sistem. Apakah kita mahu berdiam diri dan membiarkan mereka terkapai-kapai tanpa harapan?
Saya menyeru semua pihak yang terlibat – baik kerajaan, pihak berkuasa tempatan, pemaju, mahupun syarikat pemilik infrastruktur – hentikan permainan persepsi dan mula bertindak. Ini bukan semata-mata soal membaiki rumah, tetapi membina semula kepercayaan rakyat.
Tanggungjawab ini bukan boleh dipindah atau dipersalahkan antara satu sama lain. Ini adalah tanggungjawab bersama yang mesti ditunaikan, sekarang – bukan esok.
* Artikel ini adalah tulisan Datuk Nadzim Johan (Toqqi), Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM). ** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
* Artikel ini adalah tulisan Datuk Nadzim Johan (Toqqi), Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM). ** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami