Jangan tular gambar suspek, mangsa kes tikam di sekolah - Teo

Teo berkata tindakan menularkan gambar mangsa, suspek atau barangan kes boleh memberi kesan buruk kepada keluarga terlibat selain melanggar undang-undang. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching hari ini mengingatkan orang ramai agar tidak menularkan gambar dan video mangsa serta suspek kes tikam di sebuah sekolah menengah di Petaling Jaya, yang mengorbankan seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun, dua hari lepas.
Ringkasan AI
- Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching mengingatkan orang ramai supaya tidak menularkan gambar atau video mangsa dan suspek kes tikam di Petaling Jaya kerana ia melanggar Akta Kanak-kanak 2001.
- Tindakan menyebarkan bahan sensitif boleh menambah penderitaan keluarga mangsa dan memberi kesan buruk kepada emosi masyarakat.
- Kerajaan sedang berbincang dengan penyedia platform media sosial untuk memperketat kawalan kandungan serta membendung maklumat palsu dan penyalahgunaan media sosial.
"Akta itu menyatakan dengan jelas bahawa tidak boleh sesiapa mendedahkan gambar melibatkan kanak-kanak iaitu mereka berusia 18 tahun ke bawah," katanya kepada pemberita selepas memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang pelajar berkenaan di Nirvana Center Kuala Lumpur di sini hari ini.
Teo berkata penyebaran gambar sedemikian bukan sahaja menjejaskan emosi masyarakat, tetapi juga boleh menambah penderitaan kepada keluarga mangsa.
"Sebagai ibu bapa dan manusia, kita pun rasa sakit hati. Kita perlu tahu tindakan kita mungkin menyakiti ibu bapa dan ahli keluarga mangsa... informasi yang kita tidak pasti, tolong jangan kongsi," katanya.
Mengulas lanjut mengenai penggunaan media sosial yang dilihat menjadi faktor pengaruh kepada kes buli dan jenayah dalam kalangan remaja, Teo berkata kerajaan sedang berbincang dengan penyedia platform media sosial bagi memperketat kawalan penggunaan ruang tersebut.
"Seperti disebut oleh Menteri Komunikasi (Datuk Fahmi Fadzil) kami sedang berbincang dengan platform penyedia kerana memang mereka ada garis panduan masing-masing. Banyak yang cakap bahawa kalau umur bawah 13 tahun tidak boleh menggunakan media sosial.
"Tetapi jika tiada sistem untuk memeriksa dan hanya bergantung kepada pengisytiharan diri, saya minta maaf untuk mengatakan bahawa ia tidak akan berkesan," katanya.
Beliau berkata tanggungjawab membendung penyebaran maklumat palsu dan kandungan tidak sesuai juga bukan hanya terletak pada ibu bapa, tetapi juga penyedia platform media sosial.
"Saya terima aduan daripada pak cik mangsa yang memaklumkan ada individu mendakwa dirinya ayah kepada suspek, tetapi bukan. Saya pun tak boleh turunkan hantaran itu, perlu minta MCMC maklumkan kepada Meta untuk turunkan hantaran itu.
"Kadang-kadang Meta ambil (masa) dua jam, dua hari atau dua minggu untuk turunkan (hantaran), itu di luar kawalan kami. Jadi saya selalu tegaskan, platform media sosial perlu main peranan kerana mereka mengawal ruang ini," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami