BALING: Jawatankuasa Pemandu Menangani Ajaran Sesat Peringkat Kebangsaan (Japas) di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memainkan peranan menjaga kesucian agama Islam daripada dihina ataupun dipersendakan pihak tidak bertanggungjawab.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad berkata jawatankuasa yang dipengerusikan oleh beliau itu turut dianggotai Majlis Keselamatan Negara (MKN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Jabatan Agama Islam Negeri.

Beliau berkata jawatankuasa itu penting untuk memastikan akidah umat Islam tidak terpesong dengan tindakan segelintir mereka yang mempersendakan dan menghina agama Islam sesuka hati.

"Apabila terima laporan (menghina agama Islam), kita akan bertindak dan akan hubungi mereka ini kerana kita mahu selamatkan akidah mereka. Orang Islam dia kena ingat, kalau permainkan soal itu (agama), ia melibatkan akidah.

"Kalau mereka bercakap itu dalam keadaan jahil, kita (Japas) akan panggil dan nasihatkan mereka, namun jika masih degil, maka tindakan akan dikenakan," katanya pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan bantuan banjir di Sekolah Menengah Agama (SMA) Arab Yayasan Khairiah dekat sini hari ini.

Idris berkata demikian ketika diminta mengulas tentang tindakan menghina agama Islam secara terbuka termasuk kes seorang pelawak wanita beragama Islam yang membuat persembahan komedi yang didakwa menghina agama itu di sebuah kelab komedi di Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Kuala Lumpur baru-baru ini.

Idris berkata rakyat negara ini diingatkan agar tidak melakukan perbuatan menghina agama Islam kerana ia merupakan isu yang amat sensitif sekali gus boleh menggugat keharmonian negara ini.

"Orang Melayu, Islam, walaupun dia solat tidak cukup lima waktu tetapi bila melibatkan soal hina agama Islam, mereka akan pertahankan agamanya," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata sejumlah RM1.3 juta telah disumbangkan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bagi membantu penduduk terjejas dengan banjir dan kepala air pada 4 Julai lepas.

"Sumbangan itu bagi tujuan membina semula tiga rumah termasuk perabot RM270,000, bantuan wang tunai berjumlah RM672,000, bantuan baik pulih SMA Arab Yayasan Khairiah bernilai RM300,000, serta bantuan surau dan masjid bernilai RM58,000.

"Sumbangan ini tidak sebesar mana berbanding penderitaan yang dialami mereka namun diharap sedikit sebanyak dapat ringankan penderitaan dan rasa hiba mereka selepas dilanda banjir," katanya.

-- BERNAMA