Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Sukan SEA: Malaysia terbuka terima permohonan tambah acara dipertandingkan - PM Anwar

Anwar berucap pada Majlis Perasmian Hari Sukan Negara 2026 Peringkat Kebangsaan di Litar Antarabangsa Sepang hari ini.  --fotoBERNAMA
Anwar berucap pada Majlis Perasmian Hari Sukan Negara 2026 Peringkat Kebangsaan di Litar Antarabangsa Sepang hari ini. --fotoBERNAMA
Advertisement

SEPANG: Malaysia terbuka menerima permohonan negara-negara yang menyertai Sukan SEA 2027 bagi sebarang pertambahan acara untuk dipertandingkan pada penganjuran edisi ke-34 sukan dwitahunan itu tahun hadapan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau bagaimanapun berkata sebarang keputusan akhir berkaitan perkara itu, akan diputuskan oleh Persekutuan Sukan SEA (SEAGF).

“Kita sokong (permohonan) penambahan itu, kita tidak harus menghalang dan ada beberapa jenis sukan yang mahu ditonjolkan di Thailand atau Filipina atau Indonesia, Singapura, Malaysia, kita beri galakan.

Advertisement

“Bagaimanapun, semua permohonan itu kita perlu teliti dan ikuti proses mengikut SEAGF, namun secara asasnya (kita) sokong (permohonan) penambahan itu, kita tidak harus menghalang,” kata beliau.

Anwar berkata demikian dalam ucapan ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Hari Sukan Negara (HSN) Peringkat Kebangsaan 2026 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) di sini hari ini, yang turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Advertisement

Perdana Menteri turut memaklumkan bahawa beliau telah menerima permohonan secara terus daripada Presiden Indonesia Prabowo Subianto, untuk negara itu mencadangkan beberapa tambahan acara sukan pada Sukan SEA 2027.

Sukan SEA 2027 akan berlangsung di Kuala Lumpur, Sarawak, Johor dan Pulau Pinang dari 18 hingga 29 Sept, manakala Sukan Para ASEAN (APG) 2027 di Kuala Lumpur dari 17 hingga 23 Okt.

Dalam ucapannya, Anwar turut menyentuh mengenai keperluan untuk aktiviti sukan terus dihidupkan dalam kalangan rakyat, bagi memastikan negara berupaya membangun dengan sumber manusia yang sihat dan cergas.

“Ya, kerana bila kita masuk dalam pertandingan, pertarungan, kita mahu capai yang terbaik. Betul. Tetapi hebatnya sukan di Malaysia ini kerana sukannya merakyat. Kita mahu seluruh rakyat itu terlibat dalam kegiatan olahraga dan sukan. Barulah (rakyat) negara ini sihat.

“Maknanya kita sedar bahawa pembangunan itu penting, ekonomi penting, tetapi kalau rakyatnya tidak sihat, lemah, lembik, malas, nak bergerak pun susah, beratnya berlebih-lebih macam mana. Jadi sebab itu kegiatan sukan ini harus dihidupkan,” kata beliau.

Anwar berkata kajian juga menunjukkan bahawa kadar obesiti dan penghidap diabetes di negara ini terlalu tinggi, justeru langkah mengamalkan gaya hidup sihat perlu terus diterapkan dalam kalangan rakyat, termasuklah mengamalkan diet sihat seperti mengurangkan pengambilan gula.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement