BANDAR BAHARU: Insiden ikan ternakan sangkar mati di Sungai Kerian, dekat sini, baru-baru ini dipercayai berpunca daripada pelepasan air dari parit takungan air larian, di kawasan ladang kelapa sawit berhampiran Sungai Samagagah, Perak yang dipercayai mengandungi sisa baja dan racun pertanian.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata siasatan mendapati terdapat beberapa pelepasan air dari ladang kelapa sawit yang memasuki Sungai Samagagah sebelum mengalir ke Sungai Kerian dan seterusnya memasuki negeri ini.
Advertisement
"JAS negeri telah menerima aduan tentang kejadian itu pada 21 Feb lepas sebelum menjalankan siasatan hingga 23 Feb.
"Siasatan mendapati air yang dilepaskan adalah dari parit takungan air larian di kawasan ladang kelapa sawit. Air takungan ini berkemungkinan bercampur dengan sisa baja dan sisa racun dan apabila takungan tersebut sampai pada paras tertentu, ia dipam secara manual ke Sungai Kerian," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata ujian kualiti air yang dijalankan oleh pihak JAS di lokasi pelepasan mendapati air tersebut bersifat berasid dan hasil siasatan telah dikemukakan kepada agensi berkaitan termasuk pihak kawal selia air, perikanan dan perladangan di negeri terlibat untuk tindakan lanjut.
Sharifah Zakiah berkata ekoran kejadian itu, pengusaha ternakan ikan berkenaan memaklumkan mengalami kerugian mencecah RM10,000.
"Ini merupakan kejadian kedua selepas insiden sama pada November tahun lepas," katanya yang mahu isu pelepasan air dari parit takungan ladang kelapa sawit atau mana-mana ladang pertanian ke sungai diberi perhatian secara kolektif oleh pihak berkaitan bagi memastikan ekosistem sungai tidak terjejas.
Beliau turut menyeru orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti yang mencemarkan alam sekitar supaya menghubungi talian 1-800-88-2727 atau laman sesawang eAduan JAS.
-- BERNAMA