KUALA LUMPUR:Isu peruntukan sebanyak RM85.5 juta yang akan dibekalkan kepada Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) merupakan antara yang dibantah oleh ahli-ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

Rata-rata berpendapat bahawa peruntukan sebanyak itu sepatutnya digunakan untuk membantu rakyat yang sedang dihimpit kesusahan akibat pandemik COVID-19.

Menurut Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad (Amanah) amat tidak wajar untuk kerajaan mempertingkatkan peruntukan untuk Jasa yang mahu dihidupkan kembali ketika rakyat berdepan masalah ekonomi.

"Soal Jasa yang mendapat peruntukan sebanyak RM80 juta lebih, ia adalah merupakan satu jumlah yang tertinggi dalam sejarah.

"Masa BN dulu ada tetapi ketika PH tidak ada kerana kami rasakan Jasa ini merupakan platform untuk membuat lantikan politik dan agensi propaganda.

"Kami rasa tidak perlu kerana sudah ada kementerian penerangan dan agensi lain tetapi tiba-tiba kita tengah sibuk dengan pandemik, peruntukan Jasa ditingkatkan," katanya dalam satu temubual bersama Astro AWANI.

Bagi Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar (UMNO), kerajaan perlu sedar bahawa ketika ini membantu rakyat perlu diutamakan berbanding melantik pegawai Jasa.

"Itu pun kita kena tengok balik, sama ada perlu atau tidak Jasa itu diwujudkan. Saya akui ketika BN perintah memang Jasa wujud tetapi masa PH tidak wujud.

"Sekarang sesuai atau tidak diwujudkan dalam keadaan ekonomi rakyat tengah susah, yang mana lebih penting nak lantik pegawai Jasa atau nak tolong rakyat, yang ini kita nak kena timbangkan," katanya.

Manakala bagi Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Azizah Mohd Dun (Bersatu), biarpun Jasa merupakan satu agensi yang mempunyai peranan tersendiri tetapi peruntukan RM85.5 juta boleh digunakan untuk manfaat rakyat.

"Memang Jasa satu agensi yang pada saya ada gunanya tetapi sama seperti Tan Sri Noh, saya ingin tanya juga, adakah buat masa ini sesuai?

"Mungkin boleh dilakukan pada 2022, tetapi buat masa sekarang kita boleh gunakan peruntukan itu untuk benda-benda lain yang boleh beri manfaat kepada rakyat yang memerlukan," jelas beliau.

Bagi Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching (DAP), kerajaan perlu mengambil kira pandangan yang diutarakan oleh ahli-ahli parlimen terutama dari yang menyokong kerajaan.

"Saya rasa semua orang kurang bersetuju dengan peruntukan dengan Jasa, RM85.5 juta itu terlalu banyak dan dalam kalangan backbenchers juga telah utarakan pandangan mereka bagaimana RM85.5 juta ini boleh diluluskan," katanya.

Ketika pembentangan belanjawan 2021, 6 November lepas, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz mengumumkan peruntukan sebanyak RM85.5 juta kepada Jasa yang akan kembali diwujudkan.