Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menegaskan beliau tidak tahu mengenai desas-desus bahawa beliau akan dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Ia berikutan, ketika itu, beliau sedang menjalani rawatan di hospital pada minggu lalu.

"Saya tidak tahu sebab masa itu saya kena bius. Jadi, saya di bawah General Anaesthesia (GA) untuk selama empat jam. Jadi saya tidak pasti apa yang berlaku di luar," katanya kepada media semasa Majlis Minum Petang Pimpinan PKR bersama Srikandi Petaling Jaya pada Sabtu.

BACA: Tiada rombakan kabinet - Tun M

BACA: Al-Sultan Abdullah berkenan ziarah Mohamed Azmin di hospital


Bagaimanapun katanya, tujuan beliau kembali segera bertugas adalah untuk menumpukan kepada soal ekonomi negara.

"Sebab itu saya kata semalam pun saya telah kembali bertugas untuk memastikan semua tanggungjawab ini dapat dilaksanakan kerana keadaan sekarang ini memerlukan semua pihak untuk bekerja sebagai satu pasukan bagi memulihkan ekonomi negara mengurangkan kos sara hidup rakyat dan mengurangkan harga barangan.

"Ini adalah tanggungjawab kerajaan secara kolektif dan Perdana Menteri telah memberikan kepimpinan yang cukup jelas kepada semua ahli jemaah menteri untuk bersama-sama menyelesaikan dan membantu mengurangkan bebanan rakyat pada tahun ini," katanya.


Sebelum ini, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berpendapat spekulasi bahawa Azmin akan dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dalam masa terdekat hanya bertujuan menimbulkan ketegangan.

Katanya, perkara itu sudah pun dijelaskan oleh perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.