KUALA LUMPUR: Semua Jawatankuasa Kerja di bawah Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dijangka mengadakan mesyuarat ketiga minggu depan.

Jawatankuasa terbabit ialah Jawatankuasa Kerja Rakan Sekutu, Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Sabah dan Sarawak serta Jawatankuasa Kerja Sosioekonomi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Maximus Ongkili berkata mesyuarat itu penting bagi merancang tindakan yang perlu dilaksana selain memantapkan perancangan sedia ada selari dengan MA63.

Beliau berkata ia juga bagi membuktikan pencapaian awal dalam tempoh 100 hari pertama setiap kementerian sebagaimana ditetapkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

"Saya rasa kita telah mulakan asas dengan adanya Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 dan kita akan teruskan dengan apa yang dirancang.

"Sebenarnya banyak yang dirancang lebih-lebih lagi menjelang Hari Malaysia pada 16 Sept nanti tapi jadi agak perlahan disebabkan COVID-19," kata Ahli Parlimen Kota Marudu itu tanpa memberikan butiran lanjut.

Ongkili, yang juga Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), berkata demikian kepada Bernama selepas Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan serta Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia Serta Sumpah Simpan Rahsia oleh barisan menteri dan timbalan menteri di Istana Negara hari ini.

Seramai 30 menteri dan 37 timbalan menteri mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

-- BERNAMA