Skip to main content

Malaysia

JAWHAR laksana 19 projek wakaf bernilai RM321 juta - Marhamah

KUALA LUMPUR, 29 Julai -- Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Marhamah Rosli ketika pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan sempena Mesyuarat Kedua, Penggal Kelima Parlimen Kelima Belas, Sidang Dewan Negara di Bangunan Parlimen hari ini.
Marhamah ketika pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan sempena Mesyuarat Kedua, Penggal Kelima Parlimen Kelima Belas, Sidang Dewan Negara di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) membangunkan 19 projek wakaf berimpak tinggi di seluruh negara dengan kos keseluruhan RM321 juta menerusi Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) hingga Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Marhamah Rosli berkata projek berkenaan termasuk hotel wakaf, pangsapuri, pusat hemodialisis, premis perniagaan, kompleks pendidikan dan asrama anak yatim.

“Projek berkenaan memberi manfaat kepada golongan asnaf, pelajar, usahawan serta masyarakat,” katanya menjawab soalan Senator Baharuddin Ahmad mengenai pencapaian dan rekod kejayaan terkini JAWHAR dalam membantu pengurusan serta pentadbiran harta wakaf pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata pembangunan dan pentadbiran harta wakaf terletak di bawah bidang kuasa Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) selaku pemegang amanah tunggal wakaf, manakala JAWHAR berperanan menyelaras dan memperkasa pembangunan wakaf di peringkat Persekutuan.

Menjawab soalan tambahan Baharuddin mengenai status Pelan Induk Wakaf Nasional (PIWN) serta komitmen negeri terhadap pelaksanaannya, 

Marhamah berkata PIWN 2025-2030 akan dibentangkan kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) serta Jemaah Menteri untuk pemakluman tahun ini.

PIWN 2025-2030 belum dilancarkan, namun telah dibentangkan kepada semua MAIN di seluruh negara. Semua MAIN telah mengambil maklum kandungannya dan menyokong pelan berkenaan,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Senator Datuk Anna Bell @ Suzieana Perian mengenai impak produk wakaf Yayasan Waqaf Malaysia (YWM), beliau berkata sebanyak RM4.38 juta diagihkan bagi melaksanakan 92 projek Wakaf Air.

“Projek berkenaan memberi manfaat kepada 53,748 individu daripada 8,232 isi rumah. Sembilan projek Wakaf Masjid Hijau pula melibatkan jumlah agihan RM450,000 dan membantu masjid terlibat mengurangkan kos elektrik serta air hampir 50 peratus,” katanya.

-- BERNAMA 

Must Watch Video

Advertisement