Ringkasan AI
- Parti politik mengetengahkan calon baharu pada PRN Melaka sebagai usaha menyegarkan landskap politik dan meningkatkan keyakinan pengundi.
- BN dan PH antara gabungan yang memberi ruang kepada generasi baharu, namun parti perlu menguruskan kekecewaan penyandang lama.
- SPR menetapkan penamaan calon pada 31 Oktober dan hari pengundian PRN Melaka pada 14 November.
JASIN: Keputusan parti politik mengetengahkan calon baharu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dilihat sebagai usaha menyegarkan landskap politik serta meningkatkan keyakinan pengundi terhadap gabungan masing-masing.
Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik Universiti Malaya (UM), Muhammad Tawfik Yaakub berkata, langkah itu mencerminkan kepercayaan parti terhadap keupayaan muka baharu untuk membawa pendekatan berbeza, selain membuktikan mereka tidak ketandusan calon berpotensi.
Menurutnya, Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) antara gabungan yang mengambil pendekatan berkenaan bagi memberi ruang kepada generasi baharu dalam persaingan politik negeri itu.
“Bagi saya, mengetengahkan muka baharu ini merupakan satu proses penyegaran atau rejuvenasi politik yang boleh meningkatkan keyakinan dalam kalangan rakyat dan pengundi di kawasan berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi Astro AWANI mengulas perkembangan calon baharu yang diketengahkan parti-parti politik menjelang PRN Melaka.
Mengulas penerimaan pengundi, beliau berkata, calon baharu berpotensi membawa rangkaian sokongan tersendiri, selain mendapat sokongan pengundi yang setia kepada parti yang diwakili.
Katanya, faktor kesetiaan kepada parti dan pengaruh calon di peringkat akar umbi antara perkara yang boleh mempengaruhi penerimaan pengundi terhadap calon baharu.
Bagaimanapun, beliau berkata parti juga perlu menguruskan kekecewaan penyandang atau pemimpin lama yang tidak dicalonkan semula bagi memastikan sokongan dalaman terus terpelihara.
Menurutnya, sokongan pemimpin lama terhadap calon baharu yang diumumkan turut memainkan peranan dalam memperlihatkan kesepaduan parti menjelang pilihan raya.
Dalam konteks PRN Melaka, BN akan bertanding di 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala tujuh kerusi lagi diperuntukkan kepada Pas serta rakan sekutunya.
Pakatan Harapan (PH) pula mengumumkan akan bertanding di 21 daripada keseluruhan 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Melaka ke-16.
Daripada jumlah itu, Parti Keadilan Rakyat (PKR) bertanding di sembilan kerusi, DAP tujuh kerusi dan Parti Amanah Negara (Amanah) lima kerusi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon pada 31 Oktober, manakala hari pengundian bagi PRN Melaka dijadualkan pada 14 November depan.