Skip to main content

Malaysia

Kajian kerugian pesawah isu kelewatan baja selesai akhir November

Kajian itu berdasarkan data dan rekod jualan padi di lapangan bagi menilai kesan sebenar terhadap pengeluaran pesawah termasuk mengenal pasti kawasan yang terjejas. - Gambar hiasan
Kajian itu berdasarkan data dan rekod jualan padi di lapangan bagi menilai kesan sebenar terhadap pengeluaran pesawah termasuk mengenal pasti kawasan yang terjejas. - Gambar hiasan

Advertisement

PASIR MAS: Kajian berhubung kerugian pesawah susulan isu kelewatan bekalan baja dijangka selesai pada akhir November sebelum cadangan berkaitan pampasan dikemukakan kepada kerajaan untuk pertimbangan.

Ketua Pengarah Kawalselia Padi dan Beras Datuk Luqman Ahmad berkata, kajian itu berdasarkan data dan rekod jualan padi di lapangan bagi menilai kesan sebenar terhadap pengeluaran pesawah termasuk mengenal pasti kawasan yang terjejas.

Beliau berkata setakat ini, kajian awal belum menunjukkan pengurangan hasil padi secara purata, selain penilaian terperinci masih diperlukan kerana musim menuai di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) belum selesai.

“Selepas memperoleh semua data, kita akan meneliti secara terperinci kawasan yang terjejas sebelum mengemukakan cadangan untuk keputusan kerajaan,” katanya dalam sidang media khas di kilang padi di Mukim Tasek Berangan, di sini hari ini.

Luqman berkata, sebarang keputusan mengenai pampasan perlu berasaskan bukti kerugian sebenar dan melibatkan pesawah yang layak menerimanya dalam jumlah yang bersesuaian.

Beliau berkata hasil kajian akan dikemukakan kepada pihak atasan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan untuk dibawa ke peringkat Kabinet bagi pertimbangan dan keputusan termasuk proses mendapatkan peruntukan, jika pampasan dipersetujui.

“Kerajaan perlu memastikan setiap peruntukan yang digunakan bagi tujuan itu disokong data yang kukuh memandangkan ia melibatkan wang rakyat,” katanya.

Mengenai tuntutan penghapusan hutang pesawah, beliau berkata pihaknya setakat ini belum menerima sebarang cadangan rasmi atau data konkrit berkaitan jumlah hutang ditanggung pesawah untuk dikemukakan kepada pihak berkaitan.

Luqman berkata kerajaan perlu meneliti maklumat berkaitan terlebih dahulu sebelum sebarang langkah berkaitan tuntutan itu dapat dipertimbangkan.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement