KUALA LUMPUR: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerbangkan organ jantung yang didermakan seorang pesakit dari Lapangan Terbang Melaka ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) pagi ini.

Ketua Cawangan Pengurusan Operasi Udara JBPM Kapten Roslan Aziz berkata Pusat Sumber Transplan Nasional HKL menerima satu kes pendermaan organ dari Hospital Melaka daripada keluarga pesakit yang disahkan mati otak untuk mendermakan organ tersebut kepada pesakit yang memerlukan.

"Sebuah helikopter EMARS (Emergency Medical Air Ambulance and Rescue Service) JBPM diatur gerak pada 7.15 pagi dari Pangkalan Udara Wilayah Tengah JBPM, Subang ke Melaka untuk membawa organ tersebut dan kemudian selamat mendarat di HKL pada 8.35 pagi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Roslan yang mengetuai penerbangan itu bersama pembantu juruterbang Ahmad Hafiz Sulaiman dan Kuartermaster Udara Shazmi Ishak turut membawa tiga pegawai perubatan diketuai Pakar Perunding Kardiotorasik dan Vaskular Hospital Melaka Prof Datuk Dr Mohamed Ezani Md Taib.

Beliau berkata operasi pemindahan organ merupakan operasi kritikal yang memerlukan perancangan rapi dan tersusun selain perlu mematuhi tempoh jangka masa ditetapkan pasukan perubatan.

"Ini bagi memastikan organ yang dipindahkan dapat digunakan oleh penerima sebaik tiba di hospital dan sebarang kelewatan serta kesilapan boleh memberi kesan kepada status organ tersebut malah boleh mendatangkan risiko semasa pembedahan pemindahan kepada penerima," katanya dalam kenyataan itu.

Pemindahan organ merupakan satu daripada perkhidmatan perubatan yang sering dilaksanakan JBPM dengan kerjasama Kementerian Kesihatan, selain pemindahan pesakit dan bantuan logistik perubatan yang lain.

-- BERNAMA