Skip to main content

Malaysia

JBPM Perak cadang kaji semula SOP had usia kanak-kanak sertai ekspedisi daki gunung

GERIK, 8 Sept - Enam individu termasuk dua kanak-kanak yang dilaporkan hilang ketika menyertai Ekspedisi Trans Gerah di Gunung Gerah, Kelantan, selamat tiba di Jeti Trojan, Tasik Temenggor, Gerik hari ini selepas dibawa keluar dari kawasan berkenaan. Sebelum ini, Wan Ahmad Aslam Wan Zairudin, 39, dan isteri Siti Zulaiha Norizan, 39, serta anak Diya Raisha, 13, dan Ahmad Raef, 9, serta dua malim gunung Shafiee Sidek, 49, dan Hazman Mamat, 43, dilaporkan hilang selepas mendaki gunung itu pada 29 Ogos. Mereka
Enam individu yang menyertai Ekspedisi Trans Gerah di Gunung Gerah, Kelantan ditemukan selamat semalam selepas dilaporkan hilang ketika mendaki gunung itu pada 29 Ogos. - Gambar fail
Advertisement

GERIK: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak menyarankan pihak berwajib mengkaji semula prosedur operasi standard (SOP) had usia kanak-kanak dalam aktiviti lasak serta ekspedisi mendaki gunung melalui laluan mencabar.

Pengarah JBPM Perak Datuk Sayani Saidon berkata langkah itu wajar diberi perhatian bagi mengurangkan risiko ketika terlibat dalam aktiviti berkenaan.

“Saranan ini kerana risiko kecederaan fizikal bagi kanak-kanak yang melalui trek mencabar adalah lebih tinggi berbanding pendaki dewasa.

"Jika tidak ada (SOP) standard, saya rasakan telah tiba masanya untuk jabatan berkenaan melihat perkara ini dengan lebih teliti dan telus supaya keterlibatan pendaki-pendaki terutamanya di bawah umur dapat kita hadkan untuk faktor keselamatan," katanya ketika ditemui di Jeti Trojan, Tasik Banding, di sini hari ini.

Terdahulu, enam individu yang menyertai Ekspedisi Trans Gerah di Gunung Gerah, Kelantan ditemukan selamat semalam selepas dilaporkan hilang ketika mendaki gunung itu pada 29 Ogos.

Wan Ahmad Aslam Wan Zairudin, 39, dan isteri Siti Zulaiha Norizan, 39, serta anak Diya Raisha, 13, dan Ahmad Raef, 9, serta dua malim gunung Shafiee Sidek, 49, dan Hazman Mamat, 43, dibawa keluar dari Pos Kemar, 8.30 pagi tadi sebelum tiba di Jeti Trojan pada 10.20 pagi.

Sebelum ini, enam mangsa itu dilaporkan hilang selepas mendaki gunung itu pada 29 Ogos. Mereka dilaporkan gagal keluar dari hutan mengikut tarikh dijadualkan, iaitu 3 Sept dan ahli keluarga membuat laporan polis pada Ahad.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement