Skip to main content

Malaysia

JBPM perkasa pendigitalan, pelajari teknologi AI China

NANNING (China), 18 Sept - Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Nordin Pauzi menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Bengkel Forum Serantau ASEAN (ARF) ke-3 mengenai Urban Emergency Rescue di sini, hari ini. JBPM kini melalui proses pendigitalan dalam usaha memperkukuh keupayaan membuat keputusan serta menggerakkan aset dan sumber dengan lebih tepat dan pantas. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Nordin berkata, JBPM memerlukan teknologi AI bagi membantu meramal keadaan dengan lebih cekap selain menyokong proses membuat keputusan berdasarkan pelbagai parameter dan analisis data daripada agensi berkaitan. - Gambar Bernama
Advertisement

NANNING (CHINA): Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kini melalui proses pendigitalan dalam usaha memperkukuh keupayaan membuat keputusan serta menggerakkan aset dan sumber dengan lebih tepat dan pantas.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM, Datuk Nordin Pauzi berkata, proses itu melibatkan pengumpulan dan perkongsian data daripada pelbagai agensi untuk dimanfaatkan secara bersama, sekali gus membuka ruang kepada penggunaan kecerdasan buatan (AI) secara lebih menyeluruh dalam pengurusan bencana.

"Pendigitalan ini merupakan fasa pertama, iaitu pengumpulan bank data... AI pula lebih pintar untuk pergi ke peringkat seterusnya tetapi kita sudah pun bermula," katanya kepada Bernama selepas Majlis Perasmian Bengkel Forum Serantau ASEAN (ARF) ke-3 mengenai Urban Emergency Rescue, di sini, pada Jumaat .

Nordin berkata, JBPM memerlukan teknologi AI bagi membantu meramal keadaan dengan lebih cekap selain menyokong proses membuat keputusan berdasarkan pelbagai parameter dan analisis data daripada agensi berkaitan.

Beliau berkata, perkembangan teknologi penyelamatan di China termasuk AI, dron dan robotik antara perkara yang diberi perhatian JBPM sepanjang penyertaan dalam bengkel berkenaan kerana teknologi itu digunakan dalam pelbagai peringkat pengurusan bencana.

"Di sini (China), kita lihat AI khususnya dron dan robotik telah dilaksanakan sepenuhnya dalam kerja-kerja di peringkat awal seperti di peringkat sistem amaran awal, pengesanan dan akhirnya peringkat pengoperasian serta semakan selepas tindakan ataupun peringkat siasatan," katanya.

Nordin berkata, JBPM berharap pengalaman serta teknologi yang dipelajari menerusi bengkel anjuran bersama China, Laos dan Malaysia itu dapat disesuaikan bagi memperkukuh keupayaan pengurusan bencana di dalam negara.

Beliau berkata, selari dengan penyertaan JBPM dalam program itu, sebanyak tujuh anggota  dihantar bagi mengikuti latihan bermula 14 Sept lepas dengan empat anggota menjalani latihan berkaitan struktur atau bencana geobahaya manakala tiga lagi dalam bidang penyelamatan berasaskan air termasuk penyelamatan bawah air.

Katanya, latihan berkenaan memberi peluang kepada anggota untuk bertukar pengalaman dan mempelajari kaedah operasi dalam persekitaran antarabangsa.

“Kerjasama rentas negara dan antara agensi amat penting dalam pengurusan bencana kerana sesuatu kejadian tidak mengenal sempadan dan memerlukan tindakan bersama.

"Daripada bengkel ini kita ingin mendapat kerjasama semua negara kerana bencana bersifat rentas negara, tiada sempadan, jadi kita perlu bekerjasama untuk mengatasi masalah bersama," katanya.

Nordin berkata, walaupun teknologi semakin berkembang, faktor manusia tetap menjadi elemen penting dalam operasi menyelamat, khususnya dari segi pengetahuan, kepakaran dan keupayaan agensi untuk bekerjasama.

"Campur tangan manusia itu turut penting selain ada teknologi dan sebagainya termasuk dari segi pengetahuan dan kerjasama yang penting untuk digerakkan," katanya.

Bengkel ARF ke-3 mengenai Urban Emergency Rescue yang berlangsung dari 17 hingga 21 Sept di Nanning, China bertemakan "Artificial Intelligence Empowering Urban Emergency Rescue" menghimpunkan lebih 400 peserta termasuk pegawai kanan daripada 27 peserta ARF serta wakil organisasi antarabangsa antaranya agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Sekretariat ASEAN dan Pusat Penyelarasan ASEAN bagi Bantuan Kemanusiaan mengenai Pengurusan Bencana (AHA Centre).

Program itu merangkumi Mesyuarat Pegawai Kanan, seminar, latihan lapangan pelbagai bahaya melibatkan 21 pasukan penyelamat China dan antarabangsa dari 11 negara serta lebih 300 anggota penyelamat selain pameran teknologi penyelamatan pintar dan jelajah pertandingan inovasi AI kebombaan dan penyelamatan.

Latihan lapangan itu turut memperlihatkan penggunaan peralatan penyelamatan pintar seperti robot bawah air, anjing robot pemadam kebakaran dan dron tanpa pemandu pelbagai guna berskala besar dalam tindak balas terhadap bencana gempa bumi, bencana geologi serta penyelamatan air.

Selain itu, pembukaan bengkel turut menyaksikan pelancaran Pusat Kerjasama Pengurusan Bencana dan Penyelamatan China-ASEAN sebagai platform kerjasama teknologi, latihan dan penyelarasan tindak balas bencana rentas sempadan.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement