Seramai 10,500 pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersedia untuk digerakkan bagi menghadapi bencana banjir.

Ketua Pengarah JBPM, Mohammad Hamdan Wahid berkata persediaan rapi itu turut dilaksanakan khususnya di negeri Pantai Timur yang sering dilanda bencana itu.

Menurut Mohammad Hamdan kecekapan dan kemahiran setiap anggota sangat diperlukan bagi mengendalikan tugasan semasa banjir.

"Bukan jumlah anggota yang penting di sini, tetapi yang penting dalam usaha menyelamat adalah kemahiran.

"Kita boleh memanggil ramai orang tetapi kalau tiada kemahiran, ia akan menyukarkan lagi usaha mencari dan menyelamat," jelasnya.

Tambah Mohammad Hamdan, pihaknya juga sudah bersedia 100 peratus bagi menghadapi segala kemungkinan banjir di kawasan Pantai Timur.

Katanya selain kekuatan tenaga, JBPM juga bersedia daripada segi peralatan dan jentera tertentu di bahagian logistik.

Jelasnya pihaknya turut bekerjasama dengan agensi yang lain bagi melancarkan operasi menyelamat.

Mohammad Hamdan berkata masyarakat setempat turut didedahkan kepada kursus pengurusan bencana komuniti bagi menghadapi situasi kecemasan.