KUALA LUMPUR : Jelajah Jiwa SME - acara anjuran Astro AWANI bakal berkunjung ke Pulau Pinang pada Sabtu dan Ahad ini. Ini merupakan siri jelajah yang keempat, bertujuan memperkasa perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) dalam mendepani era digital.

Jelajah Jiwa SME adalah sebuah acara yang menggabungkan sesi perkongsian dari pakar industri, usahawan PMKS, bengkel ilmu dan pameran berserta jualan produk-produk tempatan menerusi reruai yang yang menawarkan perkhidmatan kepada para usahawan dan orang ramai yang berkunjung.

Siri Jelajah Jiwa SME keempat ini bakal berlangsung di Aeon Mall Bukit Mertajam selama dua hari bermula 21 hingga 22 Oktober 2023.

Penganjuran kali ini akan dimeriahkan dengan kehadiran Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yew. Beliau akan turut melawat reruai-reruai PMKS tempatan yang menyertai acara pada kali ini.



Acara kali ini juga bakal menampilkan sekali lagi bengkel keusahawanan oleh TikTok Shop, Unifi Business dan ‘Santai Namun Sampai’ yang dibawakan khas oleh Bank Rakyat. Turut serta berkongsi ilmu ialah usahawan tempatan yang berjaya seperti Yusof Ishak, Pengasas Center of Excellence for High Value Crops ‘Basikal Penang’ dan Abdul Hafiz Abdul Majid, Ketua Pegawai Eksekutif & Pengasas DFZ Group atau pemilik ‘Basikal Penang’.



Segmen yang bakal menarik tumpuan ialah ‘Saya Jual’ yang memberi peluang kepada para usahawan PMKS membentang idea dan mengasah teknik pemasaran sambil dihakimi oleh juri. Seramai 14 orang usahawan bakal berentap pada kali ini untuk dinobatkan pemenang. ‘Saya Jual’ mencari seorang pemenang untuk kategori ‘Penyertaan Terbaik’ dan dua pemenang kategori ‘Penyertaan Berpotensi’. Peserta akan diadili oleh juri yang terdiri dari pihak Astro AWANI, Unifi Business dan Bank Rakyat. ‘Saya Jual’ di Pulau Pinang ini masih dibawakan oleh Bank Rakyat.



Seperti penganjuran-penganjuran sebelumnya, Jelajah Jiwa SME di Pulau Pinang akan turut membariskan beberapa persembahan menarik seperti pertunjukan gendang oleh Persatuan Tarian Singa Jong Hwa, Seberang Perai dan tarian boria oleh Kiddoz Dance Crew. Selain itu, pengunjung juga berpeluang memenangi hadiah menarik melalui cabutan bertuah.





Siri Jelajah Jiwa SME oleh Astro AWANI ini telah berlangsung di Sabah, Johor Bahru dan Kelantan masing-masing pada 22 dan 23 Julai, 2 dan 3 September dan 15 dan 16 September yang lalu. Siri terakhir bakal berlangsung di The Curve, Damansara pada 24 hingga 26 November ini.

Ia mendapat kerjasama dari Unifi Business selaku penaja utama, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi selaku rakan strategik dan Astro Radio sebagai rakan penyiar. Bagi siri Jelajah Jiwa SME di Pulau Pinang ini, Aeon Mall Bukit Mertajam merupakan rakan penyedia lokasi.

Untuk maklumat lanjut mengenai Jelajah Jiwa SME oleh Astro AWANI, sila layari www.jiwasme.com.my.