Skip to main content

Malaysia

Jelajah Malaysia Digital 2026 bermula Sabtu ini, bawa peluang ekonomi digital ke komuniti setempat

WANT TO LEARN HOW TO GROW YOUR INCOME THROUGH ONLINE BUSINESS?  Don't miss this exclusive sharing session with Bryan Ong, Founder & CEO of Jom Export Academy, as he reveals practical strategies to help you start and grow an online business without requiring a huge capital investment.
JMD 2026 menyasarkan 500,000 capaian dan penglibatan rakyat secara fizikal serta dalam talian, khususnya dalam kalangan pelajar, belia, pencari pekerjaan, pekerja bebas dan usahawan PMKS. - Foto Facebook/Malaysia Digital Economy Corporation
Advertisement

PUTRAJAYA: Kementerian Digital menerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) akan melancarkan Jelajah Malaysia Digital (JMD) 2026 di Dewan Komuniti Damansara Damai, Selangor, pada Sabtu ini bagi membawa kemahiran, teknologi dan peluang ekonomi digital lebih dekat kepada rakyat.

MDEC dalam kenyataan pada Rabu memaklumkan pelancaran itu menjadi pembuka tirai kepada siri jelajah di lima lokasi seluruh negara yang bertujuan merapatkan jurang digital antara komuniti bandar, pinggir bandar dan luar bandar.

Menurut kenyataan itu, JMD 2026 menyasarkan 500,000 capaian dan penglibatan rakyat secara fizikal serta dalam talian, khususnya dalam kalangan pelajar, belia, pencari pekerjaan, pekerja bebas dan usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

“Bagi edisi tahun ini, jelajah ini memberikan tumpuan kepada empat teras utama, iaitu Literasi dan Etika Digital, Kerjaya Digital, Pekerjaan Bebas Digital serta Perniagaan dan Keusahawanan Digital.

“Melalui latihan, bimbingan, perkongsian industri dan demonstrasi teknologi, peserta berpeluang meningkatkan kemahiran digital, meneroka kerjaya dalam bidang teknologi, kandungan kreatif, robotik, kecerdasan buatan (AI) dan pertanian pintar serta menjana pendapatan melalui ekonomi digital," menurut kenyataan itu.

JMD yang terbuka secara percuma kepada orang ramai akan menampilkan sesi perkongsian industri, bengkel praktikal, demonstrasi robotik dan dron, permainan digital, jualan secara langsung, pameran usahawan tempatan, sesi jaringan serta pendaftaran minat bagi program latihan, keusahawanan dan kerjaya digital MDEC.

Pengunjung juga boleh mendapatkan perkhidmatan di kaunter Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, mendaftar MyDigital ID serta memperoleh maklumat mengenai aplikasi MyGOV.

Selain itu, Puspakom Sdn Bhd akan menawarkan pemeriksaan kenderaan berasaskan AI kepada 40 kenderaan terawal manakala rangkaian jenama kopi Malaysia ZUS Coffee menyediakan kira-kira 400 cawan kopi percuma kepada pengunjung.

Bagi usahawan, program itu menyediakan pendedahan kepada inisiatif seperti eUsahawan, Global Online Workforce (GLOW), perdagangan secara langsung, pemasaran digital dan e-Invois Nasional bagi membantu mereka mendigitalkan operasi, meningkatkan produktiviti serta memperluas pasaran.

Menurut MDEC, JMD 2026 menyokong agenda Malaysia Digital (MD) 2030 dan aspirasi negara untuk menjadi sebuah negara berteraskan AI menjelang 2030.

“Melalui kerjasama antara Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, industri dan komuniti, inisiatif ini membantu memastikan transformasi digital negara dilaksanakan secara inklusif serta memberi manfaat kepada rakyat dan perusahaan tempatan,” menurut kenyataan itu.

Selepas Selangor, siri jelajah itu akan diteruskan ke Dewan Bistari Ayer Keroh, Melaka pada 15 Ogos sebelum ke Kuching di Sarawak, Bagan Datuk di Perak dan Pahang.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement