MEKAH: Jemaah haji Malaysia dinasihatkan agar tidak merujuk persoalan ibadah kepada aplikasi kecerdasan buatan (AI) umum, sebaliknya menggunakan platform rasmi e‑TAIB yang disediakan Lembaga Tabung Haji (TH) bagi mengelakkan kekeliruan hukum akibat perbezaan pandangan mazhab.
Penegasan itu dibuat susulan penggunaan meluas aplikasi AI umum yang berpotensi memberikan jawapan bercanggah dengan panduan ibadah haji Malaysia yang berlandaskan keputusan Muzakarah Haji, sekali gus boleh menjejaskan kesahihan dan kesempurnaan ibadah jemaah.
Advertisement
Pengarah Operasi Bimbingan Haji TH, Shahrin Awaludin berkata, buat julung kalinya TH memperkenalkan teknologi AI secara rasmi menerusi sistem e‑TAIB Live Chat, yang boleh diakses jemaah pada bila-bila masa melalui aplikasi WhatsApp.
Beliau berkata, sistem itu dibangunkan khusus sebagai rujukan sah untuk jemaah haji Malaysia, dengan jawapan berpandukan sumber rasmi TH dan disahkan oleh pakar rujuk ibadah haji.
“Menerusi e‑TAIB, sistem AI akan menjawab terlebih dahulu berdasarkan bahan rujukan rasmi Tabung Haji yang telah disemak dan diluluskan.
“Sekiranya jawapan memerlukan penjelasan lanjut atau melibatkan perincian tertentu, petugas PIHTAS (Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci) akan mengambil alih dan memberi jawapan secara langsung kepada jemaah,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Menurut Shahrin, pendekatan tersebut penting bagi memastikan setiap persoalan ibadah dijawab secara selari dengan amalan dan mazhab yang digunakan di Malaysia, berbanding aplikasi AI luar yang mungkin mengambil pandangan berbeza sehingga mengelirukan jemaah.
Beliau berkata, antara persoalan paling kerap dikemukakan jemaah menerusi e‑TAIB ialah berkaitan dam, larangan ihram termasuk rambut gugur dan penggunaan wangian, selain isu fiqh wanita.
“Kebanyakan jemaah sebenarnya sudah memahami asas hukum, tetapi mereka mahukan pengesahan segera, terutamanya dalam situasi tertentu semasa berada di Tanah Suci.
“e‑TAIB membolehkan mereka mendapat jawapan tepat secara pantas tanpa perlu menunggu atau membuat andaian sendiri,” katanya.
Shahrin menambah, penggunaan e‑TAIB digalakkan kerana ia percuma, mudah diakses serta menggunakan rujukan rasmi, sekali gus mengelakkan jemaah daripada bergantung kepada aplikasi luar yang tidak mengambil kira konteks pengurusan dan panduan ibadah haji Malaysia.
Pada hari pertama pelaksanaannya, sistem tersebut merekodkan kira-kira 300 pertanyaan berkaitan hukum-hakam ibadah, menunjukkan sambutan yang memberangsangkan dalam kalangan jemaah.
Menurut Shahrin, perkhidmatan e‑TAIB bukan sahaja dibuka kepada jemaah haji dan umrah, malah turut boleh dimanfaatkan oleh petugas bagi rujukan segera semasa operasi haji.