PUTRAJAYA: Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini bersetuju menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi mengkaji pengendalian perkara berkaitan kes kedaulatan Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan, kata Setiausaha Jemaah Menteri Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Mohd Zuki yang juga Ketua Setiausaha Negara berkata penubuhan RCI itu dibuat selaras dengan Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119), yang mana cadangan keanggotaan suruhanjaya itu akan dibawa untuk perkenan Yang di-Pertuan Agong.

"Cadangan ahli-ahli ini akan mengambil kira komposisi pakar-pakar yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang kehakiman, perundangan dan pentadbiran awam serta dapat melaksanakan siasatan dengan telus, adil dan saksama bagi mengelak sebarang isu yang melibatkan konflik kepentingan dengan pihak berkaitan," menurut beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Akta 119 memperuntukkan kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menubuhkan suatu Suruhanjaya Siasatan untuk menyiasat apa-apa perkara lain yang siasatannya pada pendapat Yang di-Pertuan Agong berfaedah bagi kebajikan awam.

Pada 14 Nov 2021, media melaporkan Jemaah Menteri pada 29 Okt 2021 telah bersetuju untuk menubuhkan sebuah pasukan petugas khas, bagi menyemak semula tindakan dan isu perundangan berkenaan kes Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

-- BERNAMA