GEORGE TOWN: Jenayah indeks di Pulau Pinang merekodkan sebanyak 6,120 kes sepanjang tahun lepas iaitu penurunan 43.4 peratus atau 2,657 kes berbanding tempoh sama pada tahun 2021.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata penurunan jenayah itu adalah hasil pelbagai usaha yang dijalankan pihaknya terutama dalam memastikan kehadiran pihak polis di lokasi tumpuan dan pemantauan berterusan kawasan kerap berlaku jenayah.

"Secara keseluruhannya kejayaan yang dikecapi dari segi penurunan kadar jenayah indeks tahun lepas di sumbangkan oleh hasil perancangan teliti pada 2021 iaitu dengan kami telah melakukan pelbagai pendekatan berbeza dalam menanganinya," katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan PDRM Pulau Pinang di Pasukan Polis Marin (PPM) Batu Uban, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata bagi kategori jenayah kekerasan, jumlah nilai ambang ialah 1,488 kes berbanding jenayah indeks iaitu 946 kes menyaksikan penurunan 542 kes atau 36.4 peratus.

Katanya jenayah harta benda pula nilai ambang 4,632 kes berbanding jenayah indeks 2,517 kes, penurunan 2,115 kes atau 45.7 peratus.

Mohd Shuhaily berkata 8,641 kertas siasatan dibuka dan 4,290 atau 49.65 peratus kertas siasatan telah dituduh sepanjang tahun lepas berbanding 8,695 dibuka dan 3,812 atau 43.84 peratus kertas siasatan telah dituduh iaitu peningkatan pertuduhan sebanyak 478 kes bersamaan 12.5 peratus pada tahun 2021.

Sementara itu, katanya Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM15.56 juta dan 13,110 orang telah ditahan sepanjang tahun lepas.

"Daripada jumlah tersebut 2,494 orang ditahan di bawah kategori bekalan, seramai 7,463 orang ditahan di bawah kategori pemilikan dan 3,153 orang di bawah kategori urin. JSJN Pulau Pinang juga diiktiraf berada di kedudukan kedua terbanyak di Malaysia dalam perlucutan harta iaitu RM14.78 juta,'' katanya.

Dalam pada itu, katanya Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pulau Pinang merekodkan 2,546 kes membabitkan jumlah kerugian RM122.17 juta pada tahun lepas berbanding 3,209 kes dicatatkan dengan jumlah kerugian RM538.20 juta pada tahun 2021.

Beliau berkata kes jenayah komersial menunjukkan penurunan bagi kes yang disiasat iaitu 20.7 peratus dan jumlah kerugian juga menurun 77.3 peratus.

''Sepanjang tahun 2022 juga, JSJK telah menjalankan 1,715 operasi dengan jumlah tangkapan 1,757 orang dan hasil daripada operasi tersebut mencatatkan penyelesaian kes 40.1 peratus,'' katanya.

-- BERNAMA