Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) mengeluarkan senarai 23 individu dikehendaki kerana disyaki terbabit dalam jenayah rentas sempadan di pantai timur Sabah.

Komander ESSCOM, Datuk Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid, berkata semua individu terbabit adalah warga asing yang dikehendaki bagi membantu pasukan keselamatan menangani jenayah rentas sempadan.

"Semua individu yang dikenalpasti ini mempunyai kaitan dengan jenayah terutamanya jenayah penculikan di pantai timur Sabah," katanya.

Foto ESSCom

Foto ESSCom
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai supaya menyalurkan maklumat kepada ESSCom dan pasukan keselamatan bagi membantu penangkapan mereka.

Antara yang tersenarai ialah Selvador Muktadil atau dikenali sebagai Badong yang dipercayai anggota kumpulan Muktadil Brothers yang aktif mendalangi beberapa kes culik di pantai timur Sabah.

Badong, 40-an, berasal dari Tawi Tawi, Filipina, dipercayai dalang kes culik dua warga Malaysia di sebuah restoran makanan laut di Sandakan pada Mei tahun lalu.

Bagaimanapun tentera Filipina memaklumkan Badong telah meninggal dunia akibat ditembak dalam operasi tentera di selatan Filipina pada September lalu.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai mana-mana individu yang dikehendaki ini boleh menghubungi Bilik Gerakan ESSCom di talian 089-863181 atau WhatsApp ke 013-880 3585 atau 019-230 5909.