MALAYSIA
Jenayah siber kini ancaman utama ASEAN - Saifuddin Nasution

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata Malaysia akan terus menjadi peneraju memastikan jenayah rentas sempadan ditutup rapat, dilindungi daripada ancaman baharu yang semakin mencabar. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: ASEAN kini sedang berdepan cabaran baharu dalam jenayah siber, penipuan dalam talian, dan pengubahan wang haram merentasi sempadan, tidak mengenal negara atau bangsa.
Ringkasan AI
- ASEAN kini berdepan cabaran baharu jenayah rentas sempadan termasuk jenayah siber, penipuan dalam talian dan pengubahan wang haram yang tidak mengenal sempadan.
- ASEAN meluluskan Pelan Tindakan Jenayah Rentas Sempadan 2026-2035 serta tiga deklarasi baharu membanteras jenayah digital dan penyeludupan manusia.
- Malaysia, melalui Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, menegaskan komitmen untuk terus memimpin usaha memerangi ancaman digital dan kewangan haram.
“Jenayah ini tidak mengenal sempadan dan tidak beretnik. Mangsa boleh jadi sesiapa sahaja, daripada pemilik perniagaan kecil hingga pelajar,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC) ke-19, minggu lalu.
Mesyuarat tiga hari itu menyaksikan ASEAN sebulat suara menerima pakai Pelan Tindakan Jenayah Rentas Sempadan ASEAN 2026-2035, yang menjadi hala tuju keselamatan rantau ini untuk dekad akan datang.
Malaysia turut membentangkan cadangan penubuhan Kumpulan Kerja Khas Pengubahan Wang Haram, yang akan bermesyuarat pertama kali pada 2026 bagi memutuskan aliran kewangan yang membiayai jenayah rentas sempadan.
Tiga deklarasi turut disahkan:
• Deklarasi Melaka Mengenai Membanteras Jenayah Rentas Sempadan;
• Deklarasi ASEAN Mengenai Membanteras Penyeludupan Manusia; dan
• Deklarasi ASEAN Mengenai Membanteras Jenayah Siber dan Penipuan Dalam Talian.
Menurut Saifuddin, data antarabangsa menunjukkan keperluan mendesak untuk tindakan segera.
“Pejabat PBB Mengenai Dadah dan Jenayah, Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN dan Meta mendedahkan bahawa kerugian global akibat penipuan dalam talian melebihi AS$1 trilion (RM4.3 trilion) setiap tahun.
“Ini bukan sekadar angka statistik, ia adalah amaran bahawa tanpa tindakan, lebih ramai individu akan menjadi mangsa,” jelasnya.
Di bawah kerangka ASEAN Plus Three, negara anggota turut mengadakan perbincangan dengan China, Jepun, dan Korea Selatan mengenai pemanfaatan kecerdasan buatan (AI), analitik data besar dan perkongsian maklumat masa nyata untuk memperkukuh penguatkuasaan undang-undang.
Mesyuarat itu juga mengangkat ancaman dadah sintetik sebagai cabaran keselamatan paling mendesak di rantau ini.
Pada majlis penutup, Malaysia menyerahkan giliran pengerusi AMMTC kepada Filipina. Saifuddin menegaskan bahawa pengerusian Malaysia telah ditandai dengan “hasil nyata” daripada deklarasi hingga pelan tindakan konkrit.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami