Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Jenazah abang PM Anwar, Allahyarham Idrus Ibrahim selamat dikebumikan

BUKIT MERTAJAM, 25 Sept - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika pengebumian jenazah abangnya Allahyarham Idrus Ibrahim di Tanah Perkuburan Islam Cheruk Tok Kun Bawah hari ini. Allahyarham Idrus, 83, menghembuskan nafas terakhir ketika sedang tidur di rumahnya di Cheruk Tok Kun pada 6.10 petang semalam. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika pengebumian jenazah abangnya Allahyarham Idrus Ibrahim di Tanah Perkuburan Islam Cheruk Tok Kun Bawah hari ini. - Foto Bernama
Advertisement

BUKIT MERTAJAM: Jenazah abang kandung Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Allahyarham Idrus Ibrahim selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam  Cheruk Tokun Bawah, Bukit Mertajam selepas solat Jumaat.

Cuaca mendung mengiringi pengebumian Idrus atau lebih dikenali sebagai Cikgu Idrus yang banyak berjasa kepada keluarga perdana menteri dan juga masyarakat.

Suasana hiba menyelubungi tanah perkuburan yang dihadiri ahli keluarga terdekat, sanak saudara, kenalan dan penduduk setempat terdiri daripada pelbagai usia dan bangsa memberi penghormatan terakhir buat Allahyarham.

Bacaan talkin dan doa disempurnakan Imam 1 Masjid Jamek Cherok Tok Kun Bawah, Ustaz Tengku Zahari Tengku Baharom dan urusan pengebumian selesai pada jam 2.50 petang tadi.

Terdahulu, lebih ratusan hadirin termasuk Anwar  menyertai solat jenazah bekas Guru Besar itu yang diimamkan Mufti Pulau Pinang, Prof Madya Datuk Mohd Sukki Othman di Dewan Solat Sementara Masjid Cherok Tokun sebelum dibawa ke tanah perkuburan untuk dikebumikan .

Sebelum itu, Anwar berjalan kaki bersama penduduk kampung bagi mengiringi jenazah abangnya untuk solat Jumaat dan jenazah di Dewan Solat Sementara Masjid Cherok Tokun Bawah 70anpada 12.20 tengah hari yang terletak kira-kira 200 meter dari rumah Allahyarham.

Pada Khamis , Anwar menerusi hantaran di Facebooknya  berkongsi berita duka mengenai pemergian abang kandungnya itu ketika beliau dalam perjalanan pulang ke tanah air selepas mengakhiri lawatan kerja tiga hari ke China.

Menurut anak Allahyarham, Aida Rafiza meninggal dunia ketika sedang tidur akibat sakit tua.

Allahyarham dipercayai tidur selepas solat Zohor dan mungkin bersiap untuk menunaikan solat Asar.

Must Watch Video

Advertisement