KUALA LUMPUR: Jenazah bekas Yang di-Pertua Negeri yang juga Ketua Menteri paling lama di Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud dibawa dari pusat perubatan swasta ke Masjid Negara pagi ini.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadilah Yusof, jenazah Allahyarham Abdul Taib dibawa ke Masjid Negara untuk dimandi dan dikafankan sebelum upacara penghormatan terakhir di peringkat Semenanjung diadakan.

“Dari Masjid Negara, jenazah akan dibawa ke Lapangan Terbang TUDM Subang sebelum diterbangkan pulang ke Kuching, Sarawak,” kata Fadilah dalam wawancara dengan Astro AWANI, pada pagi Rabu.

Astro AWANI difahamkan, jenazah Allahyarham akan diterbangkan sekitar pukul 1 tengah hari dan dijangka tiba di Kuching pada 3.30 petang.

Sementara itu, kenyataan Kerajaan Negeri Sarawak sebentar tadi memaklumkan, sebaik  tiba di Kuching dari ibu negara, jenazah Abdul Taib akan terus dibawa ke kediaman Allahyarham di Demak Jaya, Jalan Bako

“Jenazah akan dibawa ke Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 22 Februari (Khamis) untuk memberi peluang kepada rakyat jelata memberi penghormatan terakhir mulai jam 8 pagi hingga 12 tengah hari.

“Selepas itu, jenazah akan dibawa ke Masjid Demak untuk disolatkan sebelum dikebumikan dengan Istiadat Pengebumian Negeri di perkuburan keluarga di Demak Jaya,” kata kenyataan itu lagi.

Allahyarham Abdul Taib meninggal dunia pada usia 87 tahun sekitar jam 4.28 pagi tadi di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur.

Berita duka pemergian Abdul Taib ke rahmatullah disahkan Fadilah.

Kerajaan Sarawak juga mengisytiharkan tempoh berkabung di seluruh negeri itu selama dua hari bermula hari ini dan bendera hendaklah dinaikkan separuh tiang di seluruh Sarawak.