Jenazah Allahyarham Kapten Hasman Hussin selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Solok Air Batu dekat sini pukul 7 petang tadi.

Jenazah sebelum itu tiba kira-kira pukul 5.30 petang di Surau Sekolah Agama Imtiaz Ulul Albab itu yang terletak kira-kira 150 meter dari tanah perkuburan tersebut.

Isteri Hasman, Siti Hazwani Ahmad dan anak sulung mereka Mohd Aqil Tahfiz, 3, menyiram air mawar di pusara tersebut sambil diiringi seluruh keluarga mereka termasuk anak kembar pasangan itu, Mohd Aqil Solihin dan Mohd Aqil Solihan yang baru berusia 4 bulan.

Majlis pengebumian
Isteri Hasman, Siti Hazwani Ahmad dan anak sulung mereka Mohd Aqil Tahfiz, 3, menyiram air mawar di pusara. - Foto Astro AWANI/Harits Asyraf Hasnan


Hadir pada majlis tersebut adalah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama kira-kira 300 jemaah lain yang menunaikan solat jenazah di surau tersebut.

Solat jenazah diimamkan Pegawai Agama Angkatan Tentera Malaysia Mejar Wan Efendi Wan Mamat itu turut disertai Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob dan bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Mohd Ali Rustam.

Terdahulu jenazah Hasman tiba di Masjid As-Syuhada Kem Terendak di sini kira-kira 4.30 petang menaiki van jenazah dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang disambut Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron.

Keranda jenazah sebaluti bendera Malaysia disambut lebih 1,500 anggota dan pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Jenazah Allahyarham kemudiannya dipindahkan ke dalam keranda ATM dan disusuli dengan solat jenazah diimamkan Ketua Pengarah Kor Agama Angkata Tentera Mejar Jeneral Datuk Kamarudin Mamat.

Allahyarham Hasman, 33, yang meninggal dunia selepas kenderaan dinaikinya hanyut dalam kejadian banjir di Missouri, Amerika Syarikat, tiba di tanah air kira-kira 1.18 tengah hari di KLIA sebelum dibawa ke Melaka.