Jenazah menantu Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Syed Alman Zain Syed Alwi, 44, yang meninggal dunia semalam, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Ramal Luar, di sini, kira-kira 10 pagi ini.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor menziarahi jenazah di Surau An-Nur, Country Heights, sebelum solat jenazah disempurnakan ratusan jemaah.

"Takziah kepada keluarga Datuk Seri Ahmad Zahid--Hamidi atas pemergian menantu beliau, Datuk Syed Alman Zain.

"Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat. Al-Fatihah," kata Najib dalam catatan di laman Twitter dan Facebook beliau.


Ahmad Zahid baru tiba di tanah air selepas melakukan lawatan kerja ke Jepun.

Beliau dan isteri Datin Seri Hamidah Khamis menyambut ketibaan Najib dan Rosmah di surau itu kira-kira pukul 8.45 pagi.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor ditemani Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datin Seri Hamidah Khamis (kanan) menziarahi jenazah menantu timbalan perdana menteri, Datuk Syed Alman Zain Syed Alwi di Surau An-Nur, Country Heights hari ini. - Foto Bernama
Syed Alman Zain, suami kepada anak sulung timbalan perdana menteri, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid, meninggal dunia susulan rawatan gigi di Bangsar semalam.

Allahyarham dilaporkan pergi ke klinik pada kira-kira pukul 6 petang semalam untuk mendapatkan rawatan gigi bersama seorang rakannya sebelum tidak sedarkan diri.

Menurut seorang anggota keluarga, Allahyarham dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan disahkan meninggal dunia.