Skip to main content

Malaysia

Jenazah rakyat Malaysia maut ditikam di Korea Selatan dijangka tiba di Malaysia esok

TB_AHMAD SHAH TIKAM KOREA_AIN SEPHIA
Jenazah rakyat Malaysia, Allahyarham Ahmad Shah dijangka tiba di tanah air pada petang esok.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Jenazah rakyat Malaysia, Allahyarham Ahmad Shah Ahmad Ros, 26, yang maut ditikam dipercayai ketika cuba meleraikan pergaduhan di Korea Selatan, dijangka tiba di tanah air pada petang Khamis ini.

Adik mangsa, Ain Sephia berkata, keluarga telah menerima pengesahan bahawa jenazah Allahyarham dijangka tiba jam 5 petang menerusi penerbangan Malaysia Airlines.

“Sebaik tiba, arwah akan dibawa ke Masjid Bandar Tasik Puteri untuk urusan solat jenazah sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Tasik Puteri.

“Terima kasih kepada semua yang sentiasa mendoakan dan membantu sepanjang urusan membawa pulang arwah. Mohon terus doakan agar segala urusan dipermudahkan sehingga arwah selamat disemadikan,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI. 

Sebelum ini, media melaporkan Allahyarham ditikam ketika cuba meleraikan pergaduhan berkumpulan di daerah Eumseong, Wilayah Chungcheong Utara, Korea Selatan.

Ahmad Shah, yang bekerja dalam sektor perkilangan dan menetap di Korea Selatan sejak 2019, disahkan meninggal dunia di sebuah hospital selepas mengalami kecederaan parah akibat ditikam pada bahagian perut.

Difahamkan, Allahyarham datang ke lokasi kejadian bersama isterinya selepas dihubungi seorang rakan senegara yang meminta bantuan susulan pergaduhan tersebut.

Siasatan awal mendapati suspek yang menikam mangsa serta beberapa individu lain yang terbabit dalam pergaduhan itu juga merupakan rakyat Malaysia.

Susulan kejadian, polis daerah Eumseong menahan seorang lelaki warga Malaysia berusia lingkungan 40-an bagi membantu siasatan berhubung kes bunuh dan beberapa kesalahan lain, manakala beberapa individu lain yang dipercayai terlibat turut ditahan.

Must Watch Video

Advertisement