MALAYSIA
JENDELA fasa dua, dijangka mula dilaksana September ini - Fahmi

Fahmi berkata inisiatif yang melibatkan hampir 3,000 tapak di seluruh negara itu, tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada pembinaan menara komunikasi konvensional. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Projek Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) fasa dua dijangka mula dilaksanakan September ini, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Ringkasan AI
- JENDELA Fasa dua bermula September 2025, dengan pendekatan hibrid melibatkan hampir 3,000 tapak untuk mempercepat pelaksanaan infrastruktur komunikasi.
- Liputan 4G di Parlimen Julau kini capai 58.28%, dengan 43 menara dan 44 stesen pemancar telah siap, serta 1,391 premis tersedia dengan gentian optik.
- Sarawak giat bina 600 menara SMART, 12 titik kehadiran (PoP) di Julau telah siap, sediakan 1,225 port jalur lebar berkelajuan sehingga 1Gbps.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Larry Sng Wei Shien (PBM-Julau) yang ingin tahu bilakah JENDELA fasa dua akan dilaksanakan, pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Menjawab soalan asal Larry berkenaan liputan Internet 4G dan 5G di kawasan Parlimen Julau terutama di sekolah-sekolah luar bandar yang masih menghadapi masalah capaian Internet, Fahmi berkata liputan Internet 4G di kawasan berpenduduk di Parlimen Julau telah mencapai 58.28 peratus.
Beliau berkata peluasan liputan Internet berkenaan dilaksanakan di bawah Pelan JENDELA termasuk bagi sekolah-sekolah di luar bandar dan kawasan pedalaman.
"Setakat 30 Jun 2025, sebanyak 43 daripada 48 menara komunikasi baharu telah siap dibina dan beroperasi, manakala 44 daripada 45 stesen pemancar telah dinaik taraf. Sebanyak 1,391 premis juga telah tersedia dengan capaian gentian optik," katanya.
Fahmi berkata pelaksanaan teknologi 5G di Julau masih pada peringkat pertimbangan, kerana tumpuan awal diberikan kepada kawasan berpenduduk padat dan perindustrian.
"Namun begitu, peluasan liputan 5G ke kawasan luar bandar termasuk kawasan Julau, akan dilaksanakan secara berperingkat berdasarkan keperluan dan kesediaan infrastruktur," katanya.
Mengulas inisiatif lain, Fahmi berkata kerajaan negeri Sarawak melalui Sarawak Multimedia Authority (SMA) dan Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC) sedang melaksanakan pembinaan 600 menara baharu (SMART 600) termasuk di Julau.
"Sebanyak 29 menara telah siap beroperasi manakala 15 lagi masih dalam pelaksanaan. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) juga telah menandatangani perjanjian kerjasama strategik dengan SDEC, bagi mempercepat kesalinghubungan komunikasi di Sarawak," katanya.
Selain itu Fahmi berkata penyediaan infrastruktur jalur lebar menggunakan kaedah titik kehadiran (PoP) turut diperluas dengan 12 PoP telah siap di Julau setakat ini, menyediakan 1,225 port untuk dilanggan dengan kelajuan sehingga 1Gbps.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami