Skip to main content
Advertisement

Malaysia

THR Gegar cipta dua rekod MBOR dalam tempoh sebulan

Sumber: Astro AWANI
THR Gegar menerima dua pengiktirafan Malaysia Book of Records menerusi siaran radio langsung dari paramotor serta persembahan Dikir Barat secara langsung di altitud tinggi. - Astro AWANI
Advertisement

KUALA LUMPUR: THR Gegar melakar sejarah baharu apabila menerima dua pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) dalam tempoh sebulan, sekali gus menjadi stesen radio pertama di negara ini yang mencapai pencapaian tersebut.

Pengiktirafan pertama diterima menerusi rekod “Siaran Radio Langsung Pertama Dari Paramotor” yang dilaksanakan oleh penyampai Gegar Petang, Ewan dan Rea, pada 4 September lalu bersempena Jelajah KITA FM di Kelantan.

Cabaran itu berlangsung di Pantai Irama, Bachok apabila kedua-dua penyampai berjaya ke udara secara langsung ketika berada di ruang udara menggunakan paramotor, sekali gus mencipta pengalaman penyiaran yang unik.

Pengiktirafan kedua pula diraih menerusi rekod “Persembahan DJ Radio Dikir Barat Secara Langsung Bertali Di Altitud Tertinggi” yang dicapai oleh penyampai Bro Pagi Gegar, Issey dan Fizie, di Kuantan 188 pada 24 September lalu.

Dalam acara tersebut, kedua-duanya berjaya membuat persembahan Dikir Barat secara langsung pada ketinggian tinggi sambil menggunakan peralatan keselamatan bertali, disaksikan pengunjung di lokasi serta pendengar menerusi siaran digital.

Menurut Pengurus Jenama THR Gegar, Azah Sahrin, pencapaian itu membuktikan komitmen berterusan stesen berkenaan dalam menghasilkan kandungan kreatif dan inovatif.

“Dua rekod dalam tempoh sebulan bukan sahaja menjadi bukti keberanian dan komitmen pasukan THR GEGAR, malah mencerminkan semangat kami untuk sentiasa mencipta kandungan yang unik, dekat di hati pendengar dan melangkaui batasan penyiaran radio konvensional" katanya.

“Kami akan terus meneroka idea baharu, mencabar kebiasaan dan memperkenalkan lebih banyak aktiviti kreatif serta inovatif bagi memastikan THR GEGAR kekal relevan, menghiburkan dan menjadi pilihan utama rakyat Malaysia” ujarnya lagi.

Tambah beliau, pencapaian itu turut didorong oleh dedikasi warga kerja, penyampai serta sokongan berterusan pendengar setia stesen tersebut.

THR Gegar yang merupakan sebahagian daripada rangkaian Astro Audio terus mengekalkan kedudukannya sebagai stesen radio nombor satu di Pantai Timur meliputi Kelantan, Terengganu dan Pahang.

 

 

Must Watch Video

Advertisement