NAGOYA: Kejayaan Malaysia menamatkan penantian 36 tahun untuk meraih pingat emas acara regu berpasukan sepak takraw pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 perlu disusuli dengan usaha memperkukuh program pelapis bagi memastikan kesinambungan kecemerlangan sukan itu.
Ketua jurulatih negara Ahmad Jais Baharun berkata lebih banyak peluang perlu diberikan kepada pemain muda berpotensi untuk menyertai program pelapis kebangsaan, sekali gus memperoleh pendedahan di pentas antarabangsa.
“Kalau kita lihat prestasi pasukan Indonesia, rata-rata mereka mempunyai ramai pemain muda berpotensi dan berani mengetengahkan pemain-pemain ini.
“Kita juga perlu bergerak seiring dengan perkembangan semasa supaya tidak ketinggalan dalam memberi peluang kepada pemain muda kita untuk beraksi di peringkat antarabangsa,” katanya ketika ditemui di sini.
Ahmad Jais berkata pembangunan pelapis penting sebagai persediaan awal bagi memastikan generasi baharu bersedia mengambil alih tempat pemain senior seperti Farhan Adam (apit kiri) dan Mohammad Syahir Mohd Rosdi (tekong) apabila tiba masanya.
“Mungkin satu masa nanti mereka akan mengambil alih tempat Farhan dan Syahir dalam pasukan negara. Jadi, kita perlu membuat persediaan dari peringkat awal,” katanya.
Jumaat lepas, skuad regu berpasukan negara menghadiahkan pingat emas kepada Malaysia selepas menamatkan penantian 36 tahun, sejak kali terakhir memenangi acara itu pada Sukan Asia 1990 di Beijing.
Lebih istimewa, Ahmad Jais merupakan antara pemain yang membantu Malaysia meraih emas pada edisi berkenaan sebelum mengulangi kejayaan itu kali ini dalam kapasiti berbeza sebagai ketua jurulatih negara.
-- BERNAMA