KUALA LUMPUR: Sebanyak 13 kawasan di seluruh negara merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat setakat jam 7 pagi ini, dengan beberapa kawasan di Sarawak terus mencatatkan bacaan tertinggi.
Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), Sri Aman merekodkan bacaan IPU tertinggi iaitu 182, diikuti Serian (177), Sibu (174), Kuching (173) dan Sarikei (169).
Kesemua kawasan berkenaan berada dalam kategori tidak sihat dengan bacaan antara 101 hingga 200.
Keadaan jerebu yang berterusan menyebabkan kualiti udara di beberapa bahagian Sarawak terus terjejas, dengan bacaan di beberapa stesen melepasi paras 150.
Mengikut klasifikasi APIMS, bacaan IPU antara 101 dan 200 dikategorikan sebagai tidak sihat dan boleh menjejaskan kesihatan, khususnya golongan sensitif seperti kanak-kanak, warga emas, serta individu yang menghidap penyakit jantung dan pernafasan.
Orang ramai dinasihatkan mengurangkan aktiviti luar, terutama aktiviti fizikal yang lasak, selain memakai pelitup muka jika perlu berada di kawasan terbuka dalam tempoh yang panjang.
Mereka juga disaran mengikuti perkembangan semasa menerusi portal APIMS dan mematuhi nasihat kesihatan yang dikeluarkan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.