Skip to main content

Malaysia

Jerebu: 20 kawasan catat IPU tidak sihat setakat jam 7 pagi

Putrajaya dan Cheras di Kuala Lumpur masing-masing mencatatkan bacaan IPU 110 dan 108, turut berada dalam kategori tidak sihat. - Foto fail/BERNAMA
Putrajaya dan Cheras di Kuala Lumpur masing-masing mencatatkan bacaan IPU 110 dan 108, turut berada dalam kategori tidak sihat. - Foto fail/BERNAMA

Advertisement

KUALA LUMPUR: Sebanyak 20 kawasan di seluruh negara mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat setakat jam 7 pagi ini, dengan Kota Tinggi, Johor merekodkan bacaan tertinggi iaitu 170.

Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), Johor merekodkan lapan kawasan dalam kategori tidak sihat, termasuk Pasir Gudang (168), Pengerang (164), Larkin (162), Tangkak (156), Batu Pahat (152), Kluang (152) dan Segamat (136).

Negeri Sembilan turut mencatatkan dua kawasan dengan IPU tidak sihat iaitu Seremban (162) dan Nilai (160).

Di Pantai Timur, Balok Baru, Kuantan mencatatkan bacaan 161, diikuti Rompin (157) dan Indera Mahkota, Kuantan (145) di Pahang. Terengganu pula merekodkan bacaan tidak sihat di Kemaman (158), Paka (156) dan Kuala Terengganu (156).

Selain itu, Bukit Rambai di Melaka mencatatkan IPU 152, manakala Johan Setia di Selangor merekodkan bacaan 134.

Putrajaya dan Cheras di Kuala Lumpur masing-masing mencatatkan bacaan IPU 110 dan 108, turut berada dalam kategori tidak sihat.

Sementara itu, 44 kawasan mencatatkan bacaan IPU sederhana, termasuk Port Dickson (99), Alor Gajah (98), Bandaraya Melaka (97), Tawau (94), Miri (92) dan Banting (83).

Hanya tiga kawasan merekodkan kualiti udara pada tahap baik iaitu Kangar, Perlis (43), Balik Pulau, Pulau Pinang (41) dan Langkawi, Kedah (28).

Bacaan IPU antara 101 hingga 200 dikategorikan sebagai tidak sihat, manakala bacaan 51 hingga 100 dianggap sederhana dan bacaan 0 hingga 50 berada pada tahap baik.

 

 

Must Watch Video

Advertisement