Ringkasan AI
- Sekumpulan penyelidik dari Institut Legasi Arkeologi dan Universiti Purdue sedang menuju ke Pulau Nikumaroro untuk menyiasat objek dipercayai serpihan pesawat Amelia Earhart.
- Objek yang dinamakan "Taraia Object" pertama kali dikesan melalui imej satelit pada 2020 dan turut kelihatan dalam gambar udara tahun 1938.
- Sehingga kini, tiada bukti fizikal pesawat Earhart ditemui walaupun pelbagai teori dan usaha pencarian telah dijalankan sejak kehilangannya pada 1937.
SYDNEY: Sekumpulan penyelidik sedang dalam perjalanan ke sebuah pulau terpencil di Lautan Pasifik bagi menyiasat objek yang dipercayai mungkin serpihan pesawat milik perintis penerbangan terkenal Amerika Syarikat, Amelia Earhart.
Pasukan itu, yang terdiri daripada penyelidik Institut Legasi Arkeologi (ALI) dan Universiti Purdue, dijangka tiba di Pulau Nikumaroro pada Isnin dalam usaha merungkai misteri kehilangan Earhart yang berlarutan hampir sembilan dekad.
Earhart hilang tanpa jejak pada 1937 ketika cuba mengelilingi dunia menaiki pesawat berkembar enjin Lockheed Electra bersama jurunavigasinya, Fred Noonan.
Misi kali ini memberi tumpuan kepada objek dikenali sebagai "Taraia Object", yang pertama kali dikesan menerusi imej satelit pada 2020 di pinggir sebuah lagun berhampiran Nikumaroro.
Universiti Purdue berkata objek itu turut kelihatan dalam gambar udara kawasan berkenaan yang dirakam seawal 1938, sekali gus mencetuskan kemungkinan ia berkait dengan pesawat Earhart.
Pasukan penyelidik kini berada kira-kira separuh perjalanan ke atol terpencil itu menaiki kapal Marin Mainiku milik syarikat perkapalan kebangsaan Kiribati selepas berlepas dari ibu negara negara kepulauan itu pada Rabu.
Ketua ekspedisi ALI, Richard Pettigrew, menyifatkan penemuan pesawat Electra milik Earhart sebagai antara penemuan paling penting dalam sejarah penerbangan.
Menurut rekod sejarah, Earhart telah berjaya merentasi California, Amerika Selatan, Afrika dan Asia sebelum tiba di Lae, Papua New Guinea pada 2 Julai 1937.
Beliau kemudian merancang meneruskan penerbangan ke Hawaii sebelum kembali ke California.
Bagaimanapun, pesawatnya dilaporkan hilang ketika cuba menuju ke Pulau Howland, sebuah pulau karang terpencil yang dijadualkan menjadi lokasi persinggahan untuk mengisi bahan api.
Kehilangannya mencetuskan pelbagai teori selama beberapa dekad, daripada kemungkinan kehabisan bahan api dan terhempas di laut hingga dakwaan campur tangan pihak tertentu.
Teori rasmi menyatakan pesawat itu mengalami masalah komunikasi ketika cuba mengesan Pulau Howland sebelum akhirnya terhempas ke laut akibat kehabisan bahan api.
Namun, sehingga kini tiada bukti fizikal yang berjaya ditemukan bagi mengesahkan nasib pesawat berkenaan.
Satu lagi teori yang popular menyatakan Earhart mungkin tersasar ke Pulau Nikumaroro sebelum mendarat cemas dan meninggal dunia sebagai mangsa tersadai di pulau itu.
Walaupun terdapat pihak yang skeptikal dan berpendapat objek yang ditemui mungkin hanya pokok tumbang atau formasi semula jadi, pasukan penyelidik yakin siasatan lanjut di lokasi mampu memberikan jawapan yang selama ini dicari.
Beberapa usaha terdahulu untuk mencari pesawat Earhart, termasuk menggunakan teknologi sonar pada 2024 dan ekspedisi penyelidikan pada 2019, gagal menemui sebarang bukti konklusif.