KUALA LUMPUR: Keadaan jerebu di seluruh negara terus menunjukkan peningkatan apabila jumlah stesen pemantauan yang mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat meningkat kepada 32 setakat jam 4 petang hari ini.
Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), beberapa kawasan di Lembah Klang dan Pantai Barat Semenanjung terus merekodkan peningkatan bacaan, manakala sebahagian besar kawasan di Sarawak kekal pada paras tinggi.
Putrajaya mencatatkan bacaan tertinggi di Semenanjung dengan IPU 161 berbanding 160 pada jam 3 petang.
Nilai di Negeri Sembilan turut meningkat kepada 160, manakala Seremban mencatatkan bacaan 156.
Di Selangor, Shah Alam merekodkan bacaan 157, diikuti Johan Setia (156) dan Petaling Jaya (151).
Kuala Selangor dan Klang kembali memasuki kategori tidak sihat dengan masing-masing mencatatkan bacaan 108 dan 107.
Di Sarawak, Serian kekal merekodkan bacaan tertinggi negara walaupun menurun sedikit kepada 173.
Samarahan mencatatkan bacaan 168 manakala Kuching merekodkan bacaan 166.
Bintulu kekal pada bacaan 155, sementara ILP Miri kembali memasuki kategori tidak sihat dengan bacaan 106.
Di Johor, Segamat mencatatkan bacaan 156, manakala Batu Pahat dan Tangkak masing-masing merekodkan bacaan 155.
Di Melaka, Bukit Rambai dan Bandaraya Melaka kekal dalam kategori tidak sihat dengan bacaan masing-masing 153 dan 152.
Di Pahang, Balok Baru turut memasuki kategori tidak sihat dengan bacaan 103, manakala Indera Mahkota mencatatkan bacaan 111.
Sementara itu, Kangar terus merekodkan bacaan IPU terendah negara pada paras 25, diikuti Langkawi pada paras 26.
Orang ramai di kawasan yang mencatatkan bacaan tidak sihat dinasihatkan mengurangkan aktiviti luar, memperbanyakkan pengambilan air dan memakai pelitup muka yang sesuai bagi mengurangkan kesan jerebu terhadap kesihatan pernafasan.